30 pasangan dirai dalam Majlis Nikah Jamaie Syarie di Perak
IPOH: Seramai 30 pasangan pengantin selamat diijabkabulkan secara beramairamai dalam Program Majlis Nikah Jamaie Syarie peringkat negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah di Jalan Raja Musa Mahadi di sini, pada Ahad.
Program anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) itu bertujuan mengimarahkan masjid sebagai lokasi pernikahan selain membantu pasangan yang kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata pasangan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM2,000 sebagai kos majlis keraian, pakaian, penginapan di hotel serta dokumen pernikahan.
“Dengan adanya program seperti ini dapat menjimatkan masa, tenaga serta wang bagi pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.
Mohd Yusop berkata sehingga kini, hampir 200 pasangan telah berjaya disatukan sebagai suami isteri sejak program itu dianjurkan pada 2013.
Dalam pada itu, Aisyah Loo Mee Hong, 26, seorang mualaf menyifatkan pernikahan secara beramairamai satu pengalaman yang menyeronokkan. “Malah, ia memudahkan urusan pernikahan dan dapat meringankan perbelanjaan bagi pasangan yang kurang berkemampuan,” katanya yang bernikah dengan Mohd Khair Isa, 31.
Bagi pasangan adik beradik, Nur Shaf i k a Adi r aM oh dR am l i, 24, serta adiknya Muhamad Airis Danial, 21, turut menyertai majlis berkenaan untuk melangsungkan pernikahan secara serentak.
Nur Shafika Adira berkata mereka berdua beradik memutuskan untuk menyertai majlis tersebut selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga pasangan masing-masing sejak setahun lalu.
“Kos persiapan tak sampai RM3,000, pasangan hanya perlu membayar RM2,000 kepada pihak penganjur selain menyediakan mas kahwin dan cincin sahaja,” katanya yang bernikah dengan Mohamed Amirul Akram Mohamed, 24.
Muhamad Airis Danial dan pasangannya Nor Ain Alia Najiha Fauzi, 20, turut bersyukur apabila pernikahan mereka berlangsung dengan meriah walaupun tanpa perbelanjaan yang besar.Bernama