PVTLDMS anjur karnival buat pertama kali 15-16 Dis
SIBU: Karnival Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia Sarawak (PVTLDMS) yang julung kali dianjurkan dijadual berlangsung pada 15 dan 16 Disember di Stadium Tun Zaidi.
Presiden PVTLDMS merangkap pengerusi penganjur karnival Mohamad Safree Mohamad Kassim berkata, beberapa aktiviti akan dianjurkan bagi memeriahkan karnival tersebut.
“Aktiviti ini termasuk Hari Keluarga PVTLDMS, pertandingan bola sepak lima sebelah serta sepakan penalti lima lawan lima,” ujarnya kepada pemberita, pada sabtu.
Menurut Safree, ini merupakan julung kali pertandingan bola sepak lima sebelah dianjurkan untuk orang awam memandangkan ia hanya dipertandingkan semasa Olimpik Khas.
Untuk itu katanya, pihak persatuan akan menghantar surat jemputan kepada sekolahsekolah, agensi dan jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyertai pertandingan yang dianjurkan, termasuk dari luar Sibu.
“Bola sepak lima sebelah ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori veteran 45 tahun ke atas dan kategori terbuka 45 tahun ke bawah.
“Kita menyasarkan 30 pasukan mengambil bahagian dengan hadiah menarik menanti pemenang,” katanya sambil menambah karnival bertujuan menggalakkan veteran melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Karnival ujar Safree, juga bertujuan mengumpul dana bagi PVTDMS yang baharu diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) pada 11 April tahun ini.
Sehingga kini, PVTLDMS mempunyai 183 ahli berdaftar.