Malaysia tiada masalah mengambil mereka yang layak untuk menerajui institusi utama

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

SINGAPURA: Malaysia tidak menghadapi masalah dalam mengambil mereka yang berkelayakan untuk menerajui institusi utama, kata bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar mengatakan demikian kepada Felo Kanan di S Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Nanyang Technological University (NTU), Singapura, Yang Razali Kassim, dalam ‘In Conversation With Anwar Ibrahim’ (Perbualan Bersama Anwar Ibrahim).

Ia adalah sebahagian daripada siri perbincangan RSIS berhubung Pilihan Raya Umum Ke-14 Malaysia dan kesannya.

Yang Razali yang memberikan senario kepada Anwar berkata: “Perjalanan untuk Malaysia Baharu adalah bersama beberapa kesan. Sebagai contoh mengenai ekonomi, terdapat masalah di Khazanah, institusi penting dana pelaburan kerajaan.

Akibat daripada itu dikatakan berlaku kehilangan mereka yang berkelayakan. Masyarakat industri berkata mereka menghadapi kesukaran untuk mengambil mereka yang berkelayakan untuk menerajui institusi utama. Bagaimana anda rasa ini akan dapat ditangani?

Maklum balas Anwar adalah: “Saya tidak berkongsi pandangan itu.”

“Mana-mana Perdana Menteri yang mengambil alih jawatan mempunyai hak untuk membuat beberapa perubahan. Kebanyakan negara melakukannya. Sebahagiannya (yang meninggalkan institusi berkaitan) adalah mereka yang berkelayakan. Mereka boleh meneruskan tugas di sektor swasta dengan kedudukan mereka yang baharu.

“Khazanah adalah contoh yang baik. Tetapi mereka menggantikannya dengan (Datuk) Shahril (Ridza Ridzuan sebagai Pengarah Urusan baharu) yang tidak kurang dari segi kelayakan. Justeru biarkan beliau menguruskan institusi berkenaan,” kata Anwar.

Shahril Ridza, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, meneruskan tugas baharunya sebagai Pengarah Urusan Khazanah menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar pada 1 Ogos.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah pengerusi baharu dana pelaburan strategik kerajaan itu, menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang meletak jawatan pada 31 Mei.

“Jika beliau (Shahril) bijak beliau boleh berunding dengan mereka yang menerajuinya sebelum ini kerana mereka tidak dilayan sebagai musuh. Tiada seorang pun yang didakwa.

“Kami ingin memastikan mereka mendapat isyarat yang jelas bahawa Khazanah harus kekal sebagai sebuah entiti perniagaan yang dikaitkan dengan kerajaan. Tetapi saya tidak percaya bahawa kerana kita menggantikan (beberapa), justeru kita tidak mempunyai mereka yang berkelayakan. Tan Sri dan mereka yang utama ada di sana,” tegas Anwar.

Pada Hari Kebangsaan pada 31 Ogos baru-baru ini, Anwar menerima Yang Razali sebagai tetamu di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Versi penuh “In Conversation With Anwar Ibrahim” disiarkan di http://www. rsis.edu.sg.

RSIS dirasmikan pada 1 Jan 2007 dengan sasaran menjadi institusi penyelidikan dan pengajaran pascasiswazah dalam bidang strategik dan hubungan antarabangsa terkemuka di Asia Pasifik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.