Bajet 2019 sasar kurangkan untuk pergantungan PKS kepada buruh asing
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi tumpuan terhadap revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0) serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, kata Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming. “Ini adalah satu daripada strategi utama yang sedang kita lihat untuk Bajet 2019,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pembukaan Persidangan Usahawan Malaysia-China ke-8 (8th Malaysia-China Entrepreneur Conference) (MCEC 2018), di sini, semalam. Bajet 2019 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 2 November, yang pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Sementara itu, MCEC 2018 adalah acara perdagangan dua hala yang diadakan dengan Kerjasama Nanjing Municipal Bureau of Commerce. Acara itu disokong oleh MITI, Perbendaharaan, Kementerian Pelancongan dan Budaya, Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai serta Sekreteriat untuk Peningkatan Usahawan Malaysia (SAME) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia turut mendapat sokongan penuh Department of Commerce of Jiangsu Province, Nanjing Municipal People’s Government dan Federation of Returned Overseas Chinese of Jiangsu Province. Ong memuji penganjur MCEC, Dewan Perdagangan MalaysiaChina (MCCC), kerana menggalakkan perdagangan dua hala dan mengharapkan acara itu diadakan di Malaysia tahun depan bagi menarik lebih banyak PKS China. “Kita akan melihat sama ada mereka boleh melabur dan bekerjasama dengan rakan tempatan untuk membawa teknologi mereka selain menggunakan Malaysia sebagai gerbang ke ASEAN,” katanya. Sementara itu, Ong berkata, PKS secara amnya mempunyai modal yang terhad untuk pelaburan besar, justeru kedua-dua negara harus bekerjasama mencari kaedah baharu menjalankan perniagaan. “Kita cuba untuk melihat sama ada kita boleh membantu, tetapi adalah lebih penting pada masa ini untuk kita memahami cabarannya dahulu,” tambahnya. Presiden MCC, Tan Yew Sing, berharap persidangan itu akan mewujudkan platform untuk menghubungkan, berkomunikasi dan bekerjasama antara Malaysia dan PKS China, terutama di Nanjing. Katanya, lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China baru-baru ini adalah untuk memberi pencerahan kepada kerajaan China berhubung dasar dan idea baharu kerajaan Malaysia. — Bernama