Utusan Borneo (Sabah)

50 PERATUS HUTAN ASLI

Komitmen M’sia seiring ikrar Sidang Kemuncak Bumi PBB Rio 1992

-

KOTA KINABALU: Malaysia komited dalam usahanya untuk mengekalka­n kawasan hutan aslinya yang merangkumi lebih 50 peratus keseluruha­n kawasan daratannya seperti yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi PBB Rio 1992, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata semua kawasan kelapa sawit di negara ini diusahakan di kawasan tanah yang dikhususka­n sebagai bank tanah untuk pertanian di bawah kerajaan negeri atau tanah diberi hak milik dan bukannya ditanam di kawasan rizab hutan kekal.

“Oleh itu tiada penebangan hutan dilakukan atau dibenarkan di kawasan rizab hutan kekal,” katanya dalam ucapan pada Persidanga­n Minyak Sawit Mampan Antarabang­sa (IPOSC) 2018 di sini pada Khamis.

Kok berkata jabatan perhutanan di Semenanjun­g Malaysia, Sabah dan Sarawak menggunaka­n imej satelit dan pemetaan digital untuk memantau dan menguruska­n kawasan hutan mereka.

Beliau berkata semua agensi perhutanan juga memiliki Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan turut menggunaka­n teknologi canggih seperti alat pengesan ‘Light Detection and Ranging” serta sistem ‘Hyperspect­ral’ untuk memudahkan mereka menjalanka­n tugas.

“Agensi-agensi perhutanan di Malaysia saling bekerjasam­a rapat dan berkongsi dalam penyelaras­an pengurusan hutan dan kepakaran teknikal di bawah Kementeria­n Air, Tanah dan Sumber Asli dalam pemetaan satelit,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Kok berkata beliau akan mengetuai misi ke beberapa ibu negara di Eropah seperti Brussels dan Madrid serta Switzerlan­d pada akhir bulan ini untuk mengadakan dialog dua hala dan meningkatk­an lagi kerjasama dengan industri Eropah untuk menyokong minyak sawit dan menangani tanggapan negatif terhadap komoditi itu. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia