8 institusi pendidikan bakal wakili negara pada APICTA Ke-18 di China
KUALA LUMPUR: Dua projek percubaan Internet benda (IoT) dan robotik yang memfokus pada peningkatan pengeluaran dalam sektor pertanian negara adalah antara penyertaan yang memenangi anugerah MSC Malaysia untuk Perikatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) di Anugerah ICT PIKOM kelmarin.
Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) dalam satu kenyataan berkata pemenang adalah ‘Projek Udara’, yang dibangunkan oleh murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, dan ‘EdSense’ yang dicipta oleh mahasiswa Kolej Universiti KDU.
Model Projek Udara merupakan aktiviti pertanian berskala kecil di rumah ke arah menggalakkan generasi muda mengambil minat dalam bidang pertanian, manakala EdSense bertujuan mengurangkan kerja-kerja pemantauan tanaman dan ternakan untuk petani sambil meningkatkan tahap pengeluaran pada kos yang efektif.
Kedua-dua institusi pendidikan itu adalah antara enam sekolah dan dua universiti yang akan mewakili Malaysia pada acara Anugerah APICTA Ke-18 di Guangzhou, China yang akan diadakan dari 9 hingga 13 Okt.
Enam institusi pendidikan lain ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya, Sekolah Tinggi Foon Yew (Johor Bahru), SMK Damansara Utama, Sekolah Tinggi Foon Yew (Kulai), Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tuanku Abdul Rahman.
Tiga belas perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usaha- wan dan organisasi turut akan menyertai penerima muda tersebut pada acara antarabangsa APICTA Ke-18 yang akan menyaksikan peserta dari 16 negara bersaing tempat teratas dalam enam kategori utama dan 28 subkategori lain.