Utusan Borneo (Sabah)

Setif, Primeiro cipta kejutan pada Liga Juara-Juara CAF

-

JOHANNESBU­RG: Penjaga gol kelab Entente Setif dari Algeria, Mustapha Zeghba, dan penjaga gol kelab Primeiro Agosto dari Angola, Adao Cabaca, menjadi bintang kelmarin apabila kelab masing-masing mencipta kejutan pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara CAF.

Setif menyingkir­kan juara bertahan Wydad Casablanca dari Maghribi daripada pertanding­an kelab elit di Afrika itu dengan memastikan keputusan seri 0-0 pada pusingan kedua di Casablanca untuk menang dengan agregat 1-0.

Zeghba menyelamat­kan beberapa cubaan dengan cantik di Stade Mohammed V untuk menafikan Wydad, di mana penyerangn­ya dari Liberia, William Jebor, khususnya mensia-siakan banyak peluang.

Cabaca menyelamat­kan dua tendangan penalti dalam masa empat minit apabila Primeiro bangkit untuk mencatatka­n keputusan seri 1-1 dengan TP Mazembe dari Republik Demokratik Congo (DRC) di Lubumbashi dan mara berdasarka­n jaringan di tempat lawan.

Perlawanan pertama di antara kedua-dua kelab berakhir 0-0 pada hujung minggu lepas, sekali gus menjadikan juara lima kali Mazembe pasukan pilihan untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Esperance menjaringk­an gol lewat menerusi Fousseny Coulibaly yang dilahirkan di Ivory Coast untuk menewaskan pasukan tuan rumah Etoile Sahel 1-0 dalam perlawanan seluruh Tunisia di Sousse dan layak dengan agregat 3-1.

Satu lagi perlawanan suku akhir berlangsun­g di Kaherah semalam dengan juara rekod lapan kali Al Ahly dari Mesir dan Horoya dari Guinea yang seri selepas pusingan pertama tanpa jaring.

Primeiro menentang Esperance manakala Ahly atau Horoya bertemu dengan Setif pada peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsun­g pada 2 dan 23 Oktober.

Kelayakan yang tidak dijangkaka­n bagi Setif, juara dua kali Afrika, didalangi seorang bekas jurulatih Wydad, Rachid Taoussi, dari Maghribi.

Selepas permulaan yang buruk pada fasa kumpulan, Setif bermain dalam enam perlawanan tanpa kekalahan dan mereka kini pasti mahu mencontohi pasukan yang memenangi trofi pada 1988 dan 2014.

Kekalahan memusnahka­n harapan Wydad untuk menjadi kelab keempat dalam tempoh 54 tahun selepas Ahly, Mazembe dan Enyimba dari Nigeria untuk menjadi juara Afrika dua tahun berturut-turut. -AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia