Utusan Borneo (Sabah)

Bebal Khayal

- Karya ALONG MINOR

ENTAH, masihkah aku punya orang yang dipanggil sahabat? Kerana aku sanggup bersahabat dengan tin dalam plastik yang memberikan aku satu nikmat. Aku juga punya keluarga kecilku yang dekat, yang selalu menyayangi aku tanpa had. Isteriku ialah sahabat baik kepada aku. Malah aku lebih memilih tin dan plastik sentiasa menemani aku.

Oksigen tidak lagi aku perlukan. Aku lebih suka menikmati harum bau gam. Oksigenku, harum bau gam. I

love harum bau gam. Pernahkah kau terfikir seperti aku, untuk memancing bulan yang bulat? Siapa yang dapat merealisas­ikan angan-anganku yang terencat? Gara-gara anganangan­ku yang kuat ini, isteriku tidak pernah lagi aku pedulikan setiap malam Jumaat. Aku juga pernah terfikir, dapatkah aku melepasi limitasi kuasa yang ada pada tubuhku? Menjadi seperti watak-watak anime yang pernah aku tonton dahulu? Ah, umur yang sudah mencecah 30-an ini masih berfikiran begitu! Bodoh sungguh.

Takdir menemukan aku dengan tin gam. Memberikan aku kepuasan. Merealisas­ikan semua yang aku harapkan tadi, menjadi nyata di depan mata; biarpun sekadar khayalan.

Aku tenggelam dalam khayalan yang selalu aku dambakan. Akhirnya aku dengan angan-angan kalutku telah dipertemuk­an. Isteriku, anakanakku tidak lagi aku pedulikan. Semua duit simpanan hampir habis aku belanjakan. Keluarga kecilku telah diambil alih oleh isteriku dalam pembiayaan memberi minum dan makan. Mereka benar-benar telah aku abaikan.

Aku sudah menjadi seorang contoh yang tidak baik. Aku sudah menjadi seorang imam yang tidak baik. Aku lebih suka bermesraan dengan tin gam berbanding isteriku yang sudah melahirkan dua orang zuriat untuk keturunank­u. Aku lebih suka berpelukan dengan khayalan-khayalanku berbanding memeluk anak-anakku yang mendambaka­n kasih seorang ayah. Bodohkan aku? Semua yang baik-baik di sisiku aku biarkan menjadi sia-sia. Aku buang dunia nyata. Aku buang mereka yang selalu mencintai aku apa adanya. Aku mengaku aku memang bersalah.

Aku berkelakua­n seperti tidak punya isteri, seperti tidak punya anak. Aku tetap melupakan mereka, tetap melupakan dunia nyata biar pun sudah ramai yang menasihati aku tanpa penat. Aku tidak peduli anak keduaku yang sudah lama meninggalk­an umur yang cuma baru tahu merangkak. Aku tidak peduli adakah anakku sakit ataupun sihat. Semuanya aku tidak pedulikan termasuk suruhan Tuhan. Sekarang aku sudah memuja tin-tin gam.

“Bang, tidakkah kau kasihan melihat anak-anak kita yang masih kecil? Hentikanla­h kelakuan tidak elokmu itu.” Suatu malam isteriku menasihati aku ketika fikiranku waras, sebelum aku kembali ke dunia khayalan lagi. Kata-kata nasihat itu pergi begitu sahaja ditiup oleh angin ketagihank­u.

Aku akui isteriku memang seorang yang gigih. Dia tidak henti-henti menasihati aku dan mencintai aku, apa adanya. Sayang, semua itu aku tidak nampak kerana mata hati sudah menjadi buta. Sudah hampir dua tahun aku masih lagi belum berubah. Selama itu, semakin ramai yang memandang jijik dan hina kepada aku. Dan yang menanggung bebannya ialah keluarga kecilku. Hati aku sudah menjadi keras sekeras batu berlian yang utuh.

“Darlia, aku cadangkan lebih baik kau bercerai sahaja dengan suami kau yang berperanga­i syaitan tu. Dia hanya menyusahka­n kau dan anak-anak kau. Dan dia membawa kemaluan besar buat keluarga kita.” Inilah salah satu kata-kata yang ingin meracun cinta isteriku kepada aku daripada ahli keluargany­a. Tidak kurang juga daripada ahli keluargaku yang mencadangk­an seumpama itu kepada isteriku yang setia.

Cinta isteriku kepada aku bukanlah cinta yang mainmain atau biasa-biasa, tetapi untuk waktu ini, aku lebih mencintai rutin menghidu gam yang memberikan aku khayalan yang menghanyut­kan aku jauh daripada keluargaku dan suci cinta. Dia aku biarkan keseoranga­n menanggung derita. Padahal dahulu dia ialah seorang wanita yang ceria. Kini dia aku sia-siakan. Keceriaann­ya sudah dibunuh oleh tangis-tangisnya hampir setiap masa di dalam bilik ketika berseorang­an. Dia sudah lali dengan kata-kata makian yang sepatutnya kepada aku ditujukan.

Sudah pasti anak-anakku juga terkena tempias kelakuanku. Kerana setiap kali ada kata-kata makian daripada ahli keluarga yang berkunjung ke rumah atau di mana-mana sahaja asal bertemu dengan isteriku, yang sepatutnya ditujukan kepada aku tetapi mereka lontarkan kepada isteriku pasti kedengaran oleh anak sulungku yang sudah berada dalam darjah tiga pada tahun depan. Di hatinya, kata-kata makian kepada ayahnya yang dilontarka­n kepada ibunya pasti terkesan yang apabila tersalah didik pasti akan menjadikan anak suci itu pada kemudian hari menjadi seorang yang pendendam.

Namun aku masih belum berubah. Aku masih begini, selalu sahaja berkunjung ke dunia khayalan yang terasa nyata. Yang menjadikan aku buta tidak dapat melihat cinta.

Aku sudah lupa bagaimana aku boleh terjebak ke dalam kancah ini. Yang pasti semuanya datang daripada diri hina ini sendiri. Aku yang gagal mengawal nafsu yang sepatutnya sudah dirawat oleh isteriku. Persetan dengan nafsu.

Hari ini aku dalam keadaan yang normal. Ayah mertuaku menemui aku yang sedang berehat di ruang tamu rumah papan setinggan. Dia terus menyapa aku sebelum seliparnya tertanggal. Ruang tamu rumahku memang jelas kelihatan dari luar rumahku di kawasan perumahan setinggan. Setelah berbasa-basi sambil tersengih-sengih dengan ayah mertuaku, akhirnya ayah mertuaku membuka bicara serius. Aku yang normal juga mencuba untuk serius.

“Jon, sampai bila kau mahu jadi begini? Sekarang ini kau pilih, sama ada kau mahu terus dengan hidupmu yang menyusahka­n anakku dan cucucucuku ataupun berubah?” Aku hanya diam tidak membalas apaapa. Aku kehilangan kata.

“Bercerai atau terus bersamasam­a dengan isteri dan anakanakmu? Kau fikirlah sedalamdal­amnya,” ayah mertuaku menyambung lagi. Aku hanya diam seperti tadi. Ayah mertuaku sudah tidak mampu berdiam diri lagi, dia sudah tidak dapat menahan hatinya.

Malam ini aku melakukan rutinku untuk beberapa tahun ini. Di tempat biasa iaitu di kawasan lapang yang tersembuny­i. Namun begitu, masih berlegar-legar di dalam kepalaku kata-kata yang disampaika­n oleh ayah mertuaku pada siang tadi. Aku terus menyedut udara di dalam plastik yang berisi tin gam kasut berjenama Jebson. Tiba-tiba pipi aku terasa hangat dibasahi tangisan. Isteriku yang setia, anak-anakku yang polos mula mengambil alih kata-kata ayah mertuaku yang berlegar-legar di kepala tadi.

‘Aku tidak sanggup berpisah dengan isteri dan anak-anakku.’

Malam itu aku menangis dan meraung sepuas hati. Bulan tidak lagi menarik hatiku yang sudah dilimpahi dengan cinta semula.

‘Aku perlu berubah agar isteriku dan anak-anakku berasa bahagia. Sudah cukup mereka menderita,’ aku bermonolog sendiri pada malam itu.

Dengan pertolonga­n kuasa Tuhan, aku berubah. Pintu terbuka menerangi sedikit demi sedikit ruang akal. Lalu masuk rasa kecintaan yang dalam berlegar-legar. Membunuh sikap-sikap bebal. Lalu aku tersedar.

Setia isteriku tiada nilai. Rasa cintanya kepada aku tidak pernah menjadi longlai. Aku juga mencintain­ya. Cinta dahulu berulang semula seperti waktu mula-mula. Seorang ayah yang waras adalah impian anakanakku. Aku tahu anak-anakku tidak pernah membenciku selama ini. Pasti setiap sujud mereka kepada Tuhan akan terlafaz namaku. Mereka ingin bahagia bersama-sama ibu bapa mereka yang mereka sayangi.

Aku tahu perkara ini akan melekat pada ingatan sepanjang zaman kerana perkara ini bukan sesuatu yang mudah tanggal dari papan ingatan. Sudah cukup isteriku menanggung cacian yang sepatutnya dilontarka­n kepada aku yang secara tidak langsung anak-anakku juga terkena tempiasnya. Aku tidak ingin membebani mereka lagi. Sepatutnya aku menanggung semuanya.

“Aku mencintai abang setulus hatiku. Aku rela dan reda berkongsi baik buruk yang menimpa abang,” kata-kata yang hangat memeluk hatiku pada suatu malam yang sunyi dan dingin.

‘Aku juga mencintaim­u setulus hatiku wahai isteriku. Tidak akan aku sia-siakan engkau lagi,’ nekadku pada malam itu.

‘Terima kasih setia menunggu kepulangan­ku semula, sayang. Akan kita bina keluarga yang kukuh dan utuh agar tidak dapat ditembusi apa-apa kedukaan yang berpanjang­an.’

Sudah puas aku berkhayal. Buang tin gam, kembali asal. Isteriku, anak-anakku, papa datang membawa sesuatu yang baharu, buat kamu.

13 Ogos 2018, DBPCS

 ??  ??
 ??  ?? Gambar Sekadar Hiasan
Gambar Sekadar Hiasan
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia