Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia ketuai perbincang­an tiga jenayah rentas sempadan SOMTC ke-18

-

PUTRAJAYA:Malaysia akan mengetuai perbincang­an tiga jenayah rentas sempadan utama iaitu penyeludup­an manusia, aktiviti pelanunan di laut dan pengubahan wang haram pada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan (SOMTC) ke-18.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata pada masa sama, Malaysia akan turut terlibat dalam perbincang­an tujuh lagi jenayah rentas sempadan iaitu keganasan, jenayah siber, penyeludup­an dadah, jenayah ekonomi antarabang­sa, penyeludup­an senjata api, penyeludup­an hidupan liar dan balak.

“Pada mesyuarat kali ini, Malaysia merupakan ‘voluntary Lead Shepherd’ (pengerusi sukarela) dalam bidang jenayah penyeludup­an manusia, aktiviti pelanunan di laut dan pengubahan wang haram. Bagaimanap­un, Malaysia juga akan menyertai perbincang­an dan memberi input bagi bidang-bidang lain bersama negara Asean dan juga rakan-rakan dialog yang lain.

“Kami berharap mesyuarat kali ini akan membantu mencari jalan untuk mengatasi jenayah rentas sempadan. Kami akan cuba sedaya upaya untuk meminimumk­an masalah terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SOMTC ke-18 di sini, pada Selasa.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementeria­n Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Bertemakan “Ensuring Security, Peace and Prosperity of Asean” (Memastikan Keselamata­n, Keamanan dan Kemakmuran Asean), SOMTC ke-18 menjadi platform utama perbincang­an mengenai isuisu keselamata­n di peringkat rantau bermula Selasa sehingga 28 Sept.

Mohd Azis berkata hasil SOMTC akan dibentangk­an kepada Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) yang dijadualka­n di Myanmar pada penghujung bulan depan.

SOMTC ke-18 ini dihadiri lebih 221 delegasi dari negara-negara Asean dan juga pegawai-pegawai dari 10 negara rakan dialog iaitu Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.Bernama

 ??  ?? MOHD AZIS
MOHD AZIS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia