Utusan Borneo (Sabah)

Suspek bunuh ibu di Balik Pulau ditahan

-

BALIK PULAU: Lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan warga emas yang mayatnya ditemukan dalam lubang kumbahan najis di Kampung Sungai Burung, di sini, semalam ditahan polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A. Anbalagan berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Jalan Air Putih, di sini pada 8.45 pagi oleh sepasukan polis yang membuat risikan dan intipan ke atas suspek.

“Berdasarka­n siasatan awal, lelaki itu mengaku membunuh ibunya ketika sedang bertengkar dengan mangsa di rumah mereka awal pagi semalam sebelum menikam leher warga emas itu dengan pisau seterusnya mengelar leher si mati.

“Kejadian itu berlaku di bahagian dapur rumah mereka dan suspek kemudianny­a terus menolak lubang kumbahan najis yang terdapat di belakang rumah sebelum membuang ibunya ke dalam kumbahan najis yang bertutup sedalam 1.5 meter,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata siasatan juga mendapati, suspek yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu bertindak sedemikian kerana berada dalam keadaan khayal berikutan di bawah pengaruh bau petrol.

Anbalagan berkata lelaki itu juga mengaku tiada penglibata­n orang lain dalam kejadian tersebut dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Balik Pulau untuk perintah tahanan reman.

“Berikutan penahanan lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau kerana mencederak­an kakaknya itu, polis percaya dapat menyelesai­kan kes itu,” katanya.

Mayat mangsa ditemukan menantu lelakinya pada 2.30 petang semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah, selepas wanita berusia 63 tahun itu dikatakan hilang sejak 19 Sept lepas dan anggota keluargany­a membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada 21 Sept.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia