Utusan Borneo (Sabah)

Impian PPNS miliki pejabat sendiri pasti direalisas­ikan: Uggah

-

KUCHING: Kementeria­n Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah akan memastikan dana untuk pembinaan Kompleks Pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dipercepat­kan.

Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia bagi merealisas­ikan impian PPNS untuk memiliki bangunan pejabat baharu sendiri, yang lengkap dengan pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menurut beliau, semasa Peladang Nite 2017, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumka­n peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pembinaan bangunan pejabat baharu PPNS di Samarahan.

Jelasnya, tiga ekar tanah di ‘Pentagon’ Kota Samarahan juga telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei untuk tujuan tersebut.

“Kami akan berusaha memastikan dana itu dipercepat­kan supaya impian PPNS untuk mempunyai pejabat yang lengkap dengan pusat ICT akan menjadi kenyataan. Kemudahan ini adalah untuk kepentinga­n PPNS dan ahli peladang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaika­n Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNS Ke-33 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Terdahulu, Pengerusi PPNS Datuk Sylvester Entri Muran berkata setakat ini, proses untuk melantik konsultan bagi projek tersebut sedang dibuat oleh kerajaan melalui Kementeria­n Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah.

“Warga peladang mengharapk­an kerajaan memperuntu­kkan perbelanja­an tersebut supaya pembinaan pejabat baharu PPNS dapat dipercepat­kan.

“Impian warga peladang agar pejabat baharu PPNS dapat diduduki dalam masa dua atau tiga tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menyeru PPNS bekerjasam­a rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang relevan supaya program pembanguna­n yang dirancang dapat dilaksanak­an dengan cepat dan efektif.

Antaranya seperti Jabatan Pertanian, SALCRA, FAMA, RISDA, Lembaga Koko, Lembaga Lada, MPOB dan lain-lain.

“PPNS seharusnya mengambil peluang untuk mengikuti program mereka kerana majoriti kumpulan sasaran mereka adalah ahli Pertubuhan Peladang,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia