Utusan Borneo (Sabah)

PSG ‘ikat’ rekod berusia 82 tahun dalam Ligue 1

-

NICE, Perancis: Kelab Paris Saint Germain (PSG) tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Nice 3-0 Sabtu lepas untuk menyamai rekod kemenangan berturut-turut dari awal musim Ligue 1 Perancis.

Neymar menjaringk­an dua gol ketika PSG mencipta kemenangan kelapan berturuttu­rut, satu rekod yang hanya dicipta sekali sebelum ini oleh kelab Lille pada 1936.

“Ia cukup luar biasa sekali kerana persediaan­nya sangat sukar,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

“Pasukan ini meningkat sepanjang masa.”

Dengan 24 mata maksima, PSG memburu kejuaraan liga buat kali keenam dalam tujuh musim dan menamatkan hujung minggu dengan sekurang-kurangnya lapan mata di hadapan pencabar terdekat.

PSG ada tewas musim ini, dalam Liga Juara-Juara dan dengan perlawanan menentang Red Star Belgrade Rabu ini, Tuchel meletakkan Marco Verratti dan Edinson Cavani di bangku simpanan dan sekali lagi membuat eksperimen dengan tiga pemain pertahanan.

“Dengan tiga perlawanan dalam seminggu, kami memerlukan taktik dan satu struktur permainan di Nice, yang cukup kuat ketika mengawal bola,” kata Tuchel. “Kami perlu memastikan kami mengawal permainan lawan.”

PSG bagaimanap­un menguasai permainan dari awal dengan penjaga gol Nice, Walter Benitez menepis cubaan awal Adrien Rabiot dan Kylian Mbappe sebelum cubaan Angel Di Maria terkena palang.

Pada minit ke-22, Christophe­r Nkunku melakukan larian di sayap kanan sebelum mengumpan bola kepada Mbappe, yang jelas gagal melakukan rembatan kemas sebelum bola dirampas oleh Moussa Diaby dan melorong kepada Neymar untuk membuka jaringan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia