Utusan Borneo (Sabah)

Penganggur didakwa bunuh ibu

-

BALIK PULAU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh ibunya, yang mayatnya ditemukan dalam lubang kumbahan najis, bulan lepas.

Mohammad Firdaus Ismail, 29, didakwa membunuh dengan menyebabka­n kematian Faridah Mat Hashim, 63, di kediaman mereka di Jalan Bharu di sini antara pukul 6.30 pagi hingga 8.00 malam, 19 Sept lepas.

Bagaimanap­un tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh yang memakai baju t berwarna merah jambu hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Sepanjang berada dikandang tertuduh, Mohammad Firdaus dilihat tenang dan sesekali dilihat ketawa ketika berbual dengan tertuduh lain yang turut dihadapkan di mahkamah itu.

Tertuduh yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pemetik epal di Australia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid memaklumka­n akan memohon supaya kes itu dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi manakala peguam Edmund Antony Hermand memohon kebenaran kepada mahkamah untuk membawa Mohammad Firdaus ke hospital bagi membuat pemeriksaa­n berikutan terdapat sedikit pendarahan pada mata kiri tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Media pada 24 Sept lepas melaporkan berita mengenai penemuan mayat seorang wanita oleh menantu lelakinya sekitar pukul 2.30 petang semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia