Utusan Borneo (Sabah)

Gempa Sulawesi: 152,000 mangsa masih tertimbus

-

KOTA PALU (Sulawesi): Dianggarka­n 152,000 mangsa masih lagi tertimbus di seluruh kawasan dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Kota Palu, Sulawesi, Jumaat lepas.

Pengarah Informasi dan Media Kementeria­n Luar Indonesia Acmad Ramadan berkata pada masa yang sama sejumlah 65,733 kediaman turut musnah akibat bencana itu.

“Setakat ini, kita telah menemui sebanyak 1,558 mayat mangsa yang kebanyakka­nnya tertimbus di dalam tanah.

“Mangsa yang cedera pula ialah 2,549 orang yang ada diantarany­a telah dipindahka­n ke hospital di daerah lain untuk mendapatka­n rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di Patebo di sini, pada Jumaat.

Acmad menambah keadaan tanah serta kehendak keluarga yang inginkan jasad mangsa yang terkorban ditemukan dalam keadaan sempurna menjadi antara kesukaran yang dialami pasukan mencari dan menyelamat dalam menggali keluar mangsa.

“Kami akan lakukan yang terbaik bagi memastikan semua mangsa yang terkorban dapat dikebumika­n dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Indonesia tidak menetapkan sebarang tarikh akhir bagi kerja mencari dan menyelamat dilakukan.

“Tiada tetapan untuk pencarian mangsa. Ia akan diteruskan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Karo Penmas Divisi Humas Polri Brig Jen Ermi Widyatno berkata cuaca baik sehingga ini melancarka­n operasi membawa keluar mangsa.

“Bantuan luar juga sekarang dah boleh masuk di tiga kawasan utama iaitu Sigi, Dongala serta Kota Palu... dijangka akan lebih banyak mangsa yang akan ditemui.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan rakyat Malaysia terutamany­a Majlis Perundinga­n Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang sudi membantu kami di sini,” katanya.

Misi Bantuan Kemanusian Mapim merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang menyalurka­n bantuan kepada mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu, Jumaat lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia