Utusan Borneo (Sabah)

PAC Perak sedang dapatkan sebut harga untuk jalankan audit forensik

-

IPOH: Jawatankua­sa Kirakira Wang (PAC) Perak sedang mendapatka­n sebut harga daripada tiga firma perakaunan terbaik dunia untuk menjalanka­n audit forensik serta siasatan terhadap pengurusan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Pengerusin­ya Leong Cheok Keng berkata pihaknya yang dianggotai enam ahli itu akan meneliti kesemua sebut harga daripada tiga firma berkenaan pada mesyuarat kedua yang dijangka diadakan pada 15 Nov depan.

“Kami sedang meminta mereka untuk memberi untuk membuat audit forensik terhadap dua organisasi itu. Kami akan lihat dari segi tempoh masa untuk mereka siapkan, skop yang akan dicadangka­n, meneliti kesemua sebut harga dan akan membuat keputusan sama ada menjalanka­nnya dengan bajet yang ada.

“Jika kita dapat lantik segera satu daripada daripada firma perakaunan ini, kami akan meminta mereka untuk terus menjalanka­n audit forensik dan sekiranya audit itu mendapati ada unsur kecuaian, kecuaian yang melampau atau fraud, jadi kita akan panggil wakil MAPS dan MB Inc untuk menghadapi pendengara­n awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat pertama jawatankua­sa berkenaan yang dianggotai Leong sendiri, timbalan pengerusi jawatankua­sa Chong Zhemin yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun ) Keranji dari DAP; Adun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim (BN); ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN); Adun Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor (Amanah); Adun Teja, Ng Shy Ching (PKR) dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria (Pas).

Leong yang merupakan Adun Malim Nawar berkata setiap organisasi yang disiasat pihak PAC Perak akan menghadapi pendengara­n awam terutama membabitka­n isu-isu yang besar seperti MAPS dan MB Inc.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan meminta 13 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri menyediaka­n laporan berhubung papan tanda di premis-premis yang tidak memohon lesen untuk hadir ke mesyuarat kedua pada November depan.

“Begitu juga pihak Lembaga Air Perak diminta hadir untuk menjelaska­n mengenai kenaikan air tidak berhasil (NRW) yang agak tinggi. Mereka juga diminta untuk menyediaka­n laporan selain mencari langkah untuk mengatasi masalah NRW ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia