Utusan Borneo (Sabah)

Kempen PRK Port Dickson makin rancak, Anwar paling menonjol

-

PORT DICKSON:Tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson memasuki minggu kedua dengan kejutan pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun padang berkempen bersama calon parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, Anwar, 71, begitu teruja dengan kedatangan Perdana Menteri ketujuh itu dan akan dijadualka­n berkongsi pentas berucap pada malam Isnin selepas 20 tahun.

“Kalau beliau hadir inilah kali pertama saya kembali satu pentas dan kita akan gegarkan Port Dickson setelah 20 tahun,” katanya semasa berucap pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang, pada Sabtu.

Anwar, dengan reputasi sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Umum PKR, dilihat mempunyai kelebihan, dengan jentera parti yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PH Aminuddin Harun bertungkus lumus menyusun program antara tujuh hingga 10 program sehari bermula dari pagi sehingga tengah malam.

Malah, sejak hari pertama lagi Anwar bijak menawan hati pengundi pelbagai kaum di Port Dickson dengan lawatan ke Kuil Sikh petang hari penamaan lagi, selain ke pesta tanglung, menyampaik­an tazkirah di masjid, dan juga program kebudayaan masyarakat India mengikut jadual program.

Gelagatnya yang menari seperti mendiang superstar filem Tamil M.G.R. di atas pentas pada pesta kebudyaaan masyarakat itu tentunya menarik perhatian kaum India menunjukka­n betapa dekatnya mereka di hati Anwar.

Jadual kempen Anwar diatur cukup baik yang mana biasanya beliau akan bermula seawal 8.00 pagi dengan bersarapan dan mengadakan tinjauan mesra di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai di pusat bandar atau kawasan berhampira­n.

Pada tengahari dan petang Anwar mengadakan program ramah mesra dan santai dengan penduduk tempatan, manakala sebelah malam beliau mengadakan ceramah di dua atau tiga lokasi yang biasanya berakhir tengah malam.

Dalam beberapa siri ceramahnya, Anwar yang telah dipersetuj­ui menggantik­an Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri kelapan membawakan pelbagai isu antara mengenai masalah kewangan negara, tujuan beliau bertanding di Port Dickson dan perkara yang akan dilakukan jika dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Beliau juga menuntut pengundi di Port Dickson untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 13 Okt ini dan memberikan kemenangan bergaya kepadanya yang juga Ketua Umum PKR.

“Dalam pilihan raya kalau menang satu undi juga dikira sebagai menang, tapi kalau saya menang nanti dengan majoriti kecil, malulah saya. Ada ramai pihak yang akan mengata saya nanti,” kata beliau dalam satu ceramahnya di Kampung Baharu, di sini baru-baru ini. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia