Utusan Borneo (Sabah)

Tiga anak gajah mati dilanggar kereta api

-

COLOMBO: Tiga anak gajah mati dilanggar sebuah kereta api penumpang di timur Sri Lanka, kata pegawai semalam, beberapa minggu selepas dua anak gajah dan ibu mereka yang sarat bunting mati dilanggar dalam wilayah yang sama.

Kereta api dengan 600 penumpang yang menuju ke Colombo itu melanggar kawanan anak gajah itu dekat perkampung­an Welikanda, 260 kilometer ke timur ibu negara pada malam kelmarin, kata pegawai landasan kereta api.

“Empat gerabak tergelinci­r daripada landasan, namun mujur tiada kematian dalam kalangan penumpang,” kata pegawai landasan kereta api yang menjelaska­n landasan rosak teruk.

Insiden itu berlaku tidak sampai tiga minggu selepas kejadian yang sama berlaku melibatkan sebuah kereta api bahan bakar dalam wilayah yang sama.

Ketiga-tiga gajah terbabit, sebahagian daripada kawanan lebih besar, sedang melintasi landasan kereta api pada waktu subuh dalam hutan dekat Habarana, 180 kilometer ke timur laut Colombo, apabila mereka dilanggar dan mati pada hujung bulan lepas.

Kemalangan terbaharu berlaku ketika pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian terdahulu untuk menentukan sama ada pemandu kereta api telah mengikuti prosedur standard ketika beroperasi dalam kawasan hutan yang mempunyai populasi gajah.

Pemandu biasanya dijangka untuk memperlaha­nkan kereta api dan membunyika­n hon secara berterusan untuk memberi amaran kepada haiwan liar di atas landasan.

Dua bulan lalu, tujuh gajah lemas dalam sebuah paya di kawasan yang sama.

Enam daripadany­a berusia di bawah 12 tahun. Sri Lanka menganggap gajah sebagai khazanah negara dan dilindungi undang-undang.

Bagaimanap­un, konflik manusia-gajah dekat santuari hidupan liar telah menyebabka­n kematian 375 orang sejak lima tahun lalu, menurut perangkaan rasmi.

Penduduk kampung yang marah juga telah membalas dendam dengan membunuh hampir 1,200 haiwan itu.

Populasi gajah dalam belantara di Sri Lanka dianggarka­n sebanyak 7,500 ekor. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia