Pastor AS ditahan Turki dibebaskan setelah tercetus krisis

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

ALIAGA: Seorang pastor Amerika yang ditahan selama dua tahun di Turki dijangka kembali ke Amerika Syarikat (AS) semalam selepas mahkamah membebaskannya dalam kes yang mencetuskan krisis dalam hubungan Ankara dengan Washington selain menimbulkan masalah bagi ekonomi Turki.

Mahkamah di bandar barat Aliaga mendapati Andrew Brunson bersalah atas tuduhan yang ada kaitan denga keganasan dan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun, satu bulan dan 15 hari, kata seorang wartawan AFP.

Bagaimanapun, dia dibebaskan selepas mengambil kira masa yang sudah dijalaninya dan kelakuannya yang baik sewaktu perbicaraan, dan mahkamah menarik balik tahanan rumah ke atasnya dan larangan kepada perjalanan ke luar negara.

Selepas seketika kembali ke Izmir untuk mendapatkan harta miliknya, Brunson dipandu ke lapangan terbang di mana dia menaiki sebuah pesawat tentera AS.

Duta AS ke Jerman, Richard Grenell, kemudian tweet gambar yang menunjukkan Brunson mencium bendera Amerika yang diberikan kepadanya di sebuah pangkalan udara di mana pesawat berkenaan mendarat untuk mengisi semula minyak.

“Dia hampir pulang, terima kasih kepada @realDonaldTrump. Apabila saya menyampaikan bendera AS kepadanya, dia terus menciumnya. #agratefulnation,” tulis Grenell.

Presiden AS itu telah menekan Turki untuk membebaskan Brunson, yang telah menjadi selebriti perjuangan bagi penyokong Donald Trump yang beragama Kristian dan konservatif.

Trump berkata dia akan berjumpa dengan pastor itu apabila dia sudah kembali nanti.

“Berita baik, Pastor Brunson sudah di udara,” kata Trump kepada pemberita ketika dia tiba di Cincinnanti untuk berkempen bagi pilihan raya Kongres.

“Dia akan datang ke Oval Office, kemungkinan besar Sabtu.”

Presiden itu membuka rapat umum dengan memberitahu penyokong dia “bangga untuk melaporkan” pembebasan Brunson.

“Saya rasa dia sihat dan cergas,” kata Trump.

Brunson, yang mula-mula ditahan pada Oktober 2016, menghadapi hukuman penjara selama 35 tahun atas tuduhan menolong kumpulan pengganas dan menjalankan pengintipan.

Pendakwa kemudian menuntut hukuman penjara selama 10 tahun.

Dia disabit kesalahan atas tuduhan membantu kumpulan pengganas walaupun dia bukan anggota mereka. Brunson dan pegawai AS menegaskan dia tidak bersalah atas semua tuduhan.

“Saya seorang lelaki yang tidak bersalah. Saya menyayangi Yesus. Saya menyayangi Turki,” katanya dalam pembelaan terakhirnya.

Selepas keputusan dibaca, Brunson menangis dan memeluk isterinya, Norine.

Penahanan Brunson menyebabkan bukan hanya salah satu perbalahan diplomatik terburuk di antara dua sekutu NATO, Turki dan AS, tetapi juga menyebabkan kejatuhan mata wang lira Turki yang mendedahkan kerapuhan ekonomi negara.

Namun ketegangan tetap wujud. Selepas dia dibebaskan, Setiausaha Negara Mike Pompeo menggesa Turki membebaskan “dengan cepat” warga Amerika lain dalam tahanan.

“Dunia harus tahu Trump dan Jabatan Negara terus berusaha gigih untuk membawa balik semua tebusan Amerika dan mereka yag ditahan dan dipenjara dengan salah,” tweet Pompeo.

Saintis NATO, Serkan Golge, seorang dwiwarganegara AS-Turki, dipenjara selama tujuh setengah tahun pada Februari lalu atas tuduhan mengganas, tempoh yang dikurangkan kepada lima tahun pada bulan lepas.

Dua pekerja Turki di misi diplomatik AS masih berada dalam penjara. Salah seorang daripada mereka, bekas kakitangan konsulat Adana, Hamza Ulucay, kelmarin dinafikan pembebasan dalam perbicaraan mahkamah berasingan.

Anthony Skinner, selaku pengarah Timur Tengah dan Afrika Utara di firma perundingan Verisk Maplecroft, berkata AS dan Turki mempunyai banyak pertikaian selain Brunson.

“Alat pengapit kini sudah ditanggalkan, yang membuka laluan bagi rundingan dua hala untuk menangani punca pertikaian lain, tetapi Washington dan Ankara masih perlu melepasi medan bom periuk api,” kata Skinner.

Dia menyebut tentang tempahan oleh Turki bagi sistem pertahanan misil S-400 Rusia yang telah menimbulkan kemarahan sekutu di Barat, selaqin keazaman Ankara untuk berurusan dengan Iran yang mengingkari sekatan AS.

Turki sedang bersiap sedia untuk denda yang berpotensi daripada pihak berkuasa AS berhubung pelanggaran ke atas sekatan Iran oleh peminjam dari Turki, Halkbank, yang sudah menyaksikan pemenjaraan timbalan ketua pengarahnya di AS.

Brunson dibebaskan pada waktu yang sensitif bagi kepimpinan Turki, yang sedang diperhatikan oleh dunia berhubung cara ia mengendalikan kes wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, yang hilang di konsulat Riyadh di Istanbul pada minggu lepas.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dan Trump telah menekan Arab Saudi untuk menjelaskan apa yang telah berlaku kepada Khashoggi.

Jika isu Brunson diselesaikan dengan memuaskan, ia dapat membantu keduadua negara menyelaras dasar Saudi mereka dengan lebih dekat lagi.

Erdogan, yang pernah mengkritik Brunson pada masa lalu, seakan-akan menjauhkan diri daripada kes itu dalam kenyataan terakhirnya pada awal minggu ini, dengan menyatakan dia tidak dapat campur tangan dalam hal ehwal kehakiman.— AFP

— Gambar AFP

PASTOR Brunson (kiri) tiba di Lapangan Terbang Adnan Menderes, Izmir kelmarin selepas dibebaskan ekoran perbicaraan di mahkamah Aliaga di wilayah barat Izmir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.