Utusan Borneo (Sabah)

Dalam bangunan Parlimen diisytihar kawasan larangan merokok mulai Isnin

-

PUTRAJAYA: Mulai Isnin, sudut merokok dan tempat makan di dalam bangunan Parlimen diisytihar sebagai kawasan larangan merokok, umum Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata langkah itu dilaksanak­an secara serius mengikut peraturan bagi menjadikan keseluruha­n kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.

“Bagi perokok, mereka perlu merokok di luar bangunan Parlimen itu kerana di dalam bangunan Parlimen tiada lagi kawasan untuk merokok,” katanya kepada media selepas majlis perjumpaan bulan Oktober Kementeria­n Kesihatan 2018 di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Kementeria­n Kesihatan mengisytih­arkan semua restoran termasuk gerai dan warung di tepi jalan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Jan 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sebelum ini dilaporkan berkata setakat ini, larangan itu hanya berkuat kuasa untuk restoran makanan yang berhawa dingin, bangunan kerajaan, taman awam, lif termasuk kenderaan awam.

Dalam perkembang­an lain, Dr Dzulkefly berkata kementeria­nnya menjangka dapat mengekalka­n peruntukan sejumlah RM27 bilion iaitu sembilan peratus daripada keseluruha­n Bajet 2019.

Beliau berkata pihaknya telah membentang­kan keperluan vaksin pneumokoka­l diletakkan sebagai ‘permintaan khas’ dalam Bajet 2019 seperti termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Walaupun peruntukan itu masih ditahap yang rendah dan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Bank Dunia untuk sesebuah Kementeria­n Kesihatan, pihaknya memahami kekangan kewangan yang dialami negara ini,” katanya.

Sehubungan itu Dr Dzulkefly berkata kementeria­n telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah Islam yang berpotensi menambah pendapatan kementeria­n dalam mengendali­kan keperluan yang kritikal.

“Perkara ini tidak rahsia lagi, saya telah membentang­kan inisiatif pelaburan itu dan kaedah mendapat peruntukan tambahan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam (Ahad).

“Dr Mahathir meminta kami (Kementeria­n Kesihatan) menyatakan cadangan tersebut kepada Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Kementeria­n Kewangan,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia