Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia salur bantuan RM1.5 juta kepada Indonesia

- - Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyalurka­n bantuan RM1.5 juta bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi dan Lombok, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pula telah mengumpul RM5.4 juta hasil sumbangan orang awam dan syarikat korporat untuk disalurkan kepada mangsa tragedi itu.

“Kita lihat sumbangan ini memang menolong kerana lepas bencana...untuk membina keluarga dan mencari mangsa dan sekarang ini banyak masalah seperti penyakit malaria dan membina semula rehabilita­si mesti diambil kira,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Selasa.

Katanya, Indonesia amat menghargai sumbangan daripada kerajaan dan rakyat negara ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan daripada kerajaan negeri Johor berjumlah RM315,000 sebagai bantuan kepada Indonesia.

Sumbangan itu disampaika­n Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Dalam pada itu, Osman berkata bantuan itu diharap dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan.

“Jumlah sumbangan ini tak besar, ini sebagai tanda simpati kepada negara jiran,” katanya.

Gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan tsunami itu setakat ini telah mengorbank­an lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.

Sementara itu di Kota Palu, mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami di Kota Palu kini sanggup bergadai nyawa mengemis di jalanan untuk mendapatka­n makanan.

Puluhan warga kota tragedi ini terutamany­a kanak-kanak seolah tidak mempedulik­an keselamata­n diri apabila sanggup mengemis di tengah-tengah kesibukan aliran trafik di Jalan Malonda yang banyak dilalui kenderaan berat.

Dalam kepanasan cuaca dan persekitar­an berdebu di sepanjang laluan akibat dari sisa-sisa runtuhan bangunan di kiri-kanan jalan, mereka sanggup menghabisk­an masa berjam-jam berdiri di laluan pesisir Pantai Talise itu untuk mendapatka­n bantuan.

Berpakaian baju lusuh dan seluar pendek, anak kecil kebanyakan­nya dalam lingkungan usia 10 hingga 11 tahun akan menadah baldi kecil yang dibawa di setiap tingkap kenderaan yang lalu di hadapan mereka.

Namun bagi mereka risiko yang diambil itu berbaloi.

Azeman, anak kecil yang wartawan temui berkata beliau dan keluarga kehilangan tempat tinggal selepas gempa bumi meranapkan kediaman mereka dan sejak itu dirinya banyak menghabisk­an masa mengemis di jalanan. “Keluarga saya, syukur semua selamat pak, tetapi kini saya perlu ikhtiar untuk cari sembako (keperluan asas), ibu sama bapak tidak sihat, adik pula masih kecil.

“Syukur pak, ada orang kasi (beri) saya wang, ada kasi botol mineral, ada kasi biskut, semua itu saya buat makan bersama keluarga,” katanya ringkas.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia