MED kaji semula semua dasar dan inisiatif pembangunan usahawan PKS
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sedang mengkaji semula semua dasar dan usaha berkaitan pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadikannya lebih holistik, bersepadu dan bersasar.
Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, langkah itu bertujuan mewujudkan lebih ramai usahawan tempatan dalam pasaran dengan produk dan perkhidmatan yang kompetitif.
“Atas sebab ini, menjadi misi kementerian untuk memperluas dan menyelaraskan aktiviti keusahawanan supaya ia menjadi lebih bersasar, terangkum, meliputi semua segmen masyarakat terutama B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan),” katanya semasa berucap di Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, MED serta agensi di bawahnya, seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Bank Rakyat dan SME Corp, akan menyediakan sokongan dan kemudahan kepada usahawan tempatan, dengan demikian mereka boleh mencapai kemajuan dan mengharungi persaingan serta cabaran dalam pasaran global.
“Ini penting terutama dalam berdepan gelombang semasa perubahan ekonomi serta Industri 4.0,” katanya.
Mohd Redzuan berkata, kementerian itu akan menumpukan, antara lain, menyediakan latihan dan kemudahan yang sesuai kepada usahawan berasaskan keperluan industri seperti nasihat perniagaan, pinjaman serta pembiayaan untuk merangsang minat potensi dan usahawan baharu dalam mewujudkan syarikat pemula niaga masing-masing.
Beliau berkata, bantuan itu akan ditingkatkan supaya usahawan dapat memastikan pertumbuhan dan kemampanan perniagaan mereka.
Sidang kemuncak sehari itu dianjurkan Kingsley Advisory and Strategic Initiatives Institute. — Bernama