Jangan perlekeh kemampuan ATM
MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu (gambar) menegaskan bahawa peralatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencukupi dan berada dalam keadaan baik serta sedia digunakan, jika berlaku peperangan.
Namun beliau berkata, “Kita tidak akan berperang dengan mana-mana negara, tetapi kita bersiap siaga sepenuhnya, tentera kita bersemangat. Kalau ada kerosakan (peralatan tentera), kita akan baiki,” katanya, sambil mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekeh kemampuan ATM. Menteri itu menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) di persidangan Dewan Rakyat hari ini, yang ingin tahu sejauh mana keupayaan jet pejuang ATM pada masa ini khususnya dalam operasi dan peperangan, Sementara itu, menjawab soalantambahanDatukDrAbd Latiff Ahmad (BN-Mersing), Mohamad berkata negara masih belum mempunyai keupayaan penuh terutama dari aspek kewangan bagi ‘memiliki’ jet pejuang sendiri. Beliau berkata meskipun pakar penyelidik berpendapat Malaysia mampu memiliki sendiri jet pejuang pada 2020 namun ini bergantung kepada keupayaan kewangan negara.
“Dalam usaha negara untuk mengeluarkan kapal terbang misalnya, kita sudah mampu keluarkan kapal terbang penumpang bersaiz kecil.
“Tetapi, kalau kita keluarkan kapal terbang setakat 50 buah ia tidak ekonomik, mesti keluarkan banyak tapi kalau banyak nak jual di mana?,” katanya.
Abd Latiff ingin tahu sama ada kementerian ingin mengadakan kerjasama dengan universiti yang mempunyai kepakaran tetapi tidak mempunyai modal mencukupi untuk diselaras bersama Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MIPM) agar dasar ‘self-reliance’ dapat dipercepatkan.- Bernama