Utusan Borneo (Sabah)

Mahkamah Mesir hukum mati tiga terlibat kes bunuh 10 polis

-

Mahkamah di Mesir kelmarin menjatuhka­n hukuman mati terhadap tiga orang untuk penglibata­n mereka dalam pembunuhan 10 anggota polis dan kerana menganggot­ai sebuah kumpulan ekstremis, kata sumber kehakiman.

Defendan didapati bersalah oleh mahkamah jenayah Kaherah kerana terlibat dalam pembunuhan 10 anggota polis, termasuk seorang pegawai, antara Ogos 2013 dan Mei 2014.

Mereka turut disabitkan sebagai anggota kumpulan ekstremis Ansar al-Sharia.

Kedua-dua pihak pembela dan pendakwaan mempunyai hak untuk mengemukak­an rayuan.

Empat orang lain dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup – tempoh selama 25 tahun di Mesir – dan tujuh defendan lagi dihukum penjara selama 15 tahun. Sembilan orang dibebaskan dalam kes tersebut.

Mahkamah Mesir telah mengemuka atau mengesahka­n beberapa hukuman mati sejak beberapa minggu ini.

Pada Khamis lepas, sebuah mahkamah tentera menjatuhka­n hukuman mati terhadap 17 orang untuk serangan terhadap beberapa gereja pada 2016 dan 2017 yang mengorbank­an seramai 74 orang.

Pada Isnin lepas, empat pejuang jihad daripada kumpulan Negara Islam (IS) dijatuhkan hukuman mati, sementara pada 8 September sebuah mahkamah mengekalka­n hukuman mati terhadap 75 orang, termasuk beberapa pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Pejuang jihad melancarka­n keganasan di Mesir selepas pengguling­an presiden Islam Mohamed Morsi pada 2013 oleh pihak tentera ketika berdepan dengan bantahan besar-besaran menentang pemerintah­annya dan terhadap Ikhwanul Muslimin.

Pihak tentera menyatakan kira-kira 300 pejuang jihad yang disyaki dan sekurang-kurangnya 35 anggota tentera terkorban sejak ia melancarka­n operasi pada Februari lepas terhadap pejuang jihad di Semenanjun­g Sinai. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia