Utusan Borneo (Sabah)

Harry, Meghan bawa ‘hujan ribut’ ke wilayah kemarau di Australia

-

DUBBO: Putera Harry dan isteri baginda yang mengandung, Meghan, melawat sebuah wilayah yang dilanda kemarau di Australia semalam, dan membawa hujan ribut bersama mereka.

Putera itu memuji petani yang tabah kerana sabar menghadapi kemarau selama bertahun-tahun ketika baginda dan Duchess of Sussex menerima sambutan hangat dan satu pelukan yang mesra pada hari kedua jelajah mereka ke Down Under.

“Hujan ini adalah satu anugerah,” kata putera itu ketika baginda berucap kepada petani di salah sebuah wilayah kemarau yang paling teruk terjejas di negara itu.

Ramai penduduk tempatan yang membawa potongan kadbod pasangan diraja itu berkumpul di bandar pedalaman Dubbo untuk melihat mereka, manakala penduduk lain memakai baju beraneka ragam dan sebuah bar tempatan malah membuat bir yang dipanggil “Dubbo Royale”.

“Anda adalah garam dunia. Jujur, gigih berusaha, dan tahan lasak,” kata putera itu kepada masyarakat Dubbo yang berkumpul di sebuah taman ketika hujan lebat turun.

“Ketahanan itu, kelucuan, dan komitmen kepada tanah, merupakan kualiti yang menjadikan anda unik, anda adalah tulang belakang negara ini,” ujarnya manakala Meghan memegang payung untuk mereka berdua.

Timur Australia mengalami tempoh kemarau yang memecah rekod, dengan beberapa wilayah di Dubbo dan sekitarnya yang mengalami kemarau selama beberapa tahun.

Hanya sejak beberapa minggu lepas sahaja beberapa kawasan mula melihat hujan – walaupun hujan lebat masih tidak menentu.

Harry, yang telah bercakap mengenai isu kesihatan mentalnya sendiri ekoran kematian bonda baginda, menyeru kepada mereka yang terjejas akibat kemarau untuk mendapatka­n bantuan.

“Anda hanya perlu meminta bantuan – jiran anda, rakan sebaya anda, petani lain ada di selekoh,” katanya, yang menyebut tentang kadar bunuh diri yang lebih tinggi di kawasan luar bandar Australia.

Pasangan diraja itu berada di Dubbo – sebuah bandar sejauh enam jam pemandu-an dari Sydney – untuk me-rasmikan sebuah pesawat baharu bagi Royal Flying Doctor Service di negara itu di lapangan terbang tempatan, berkelah bersama masyarakat petani dan melawat sebuah sekolah yang bekerja dengan belia peribumi Australia.

Pasangan itu juga berhenti untuk memeluk mesra Luke Vincent, lima tahun, yang memakai seragam Sekolah Awam Buninyong dan topi biru putih ketika dia menggesel hidung duchess dan dengan penuh mesra menggosok rambut perang duke yang semakin menipis dan membelai jambang baginda.

Duke dan duchess itu menepis lalat ketika mereka berjumpa dengan petani tempatan di sebuah rumah pedalaman, di mana mereka diberitahu tentang impak kemarau dan membantu dengan baldi makanan untuk haiwan ternakan.

Mereka duduk bersama sebuah keluarga sambil minum teh, dan duchess membawa roti pisang yang baginda buat sendiri pada malam sebelum itu.

Harry dan Meghan mengikuti jejak langkah Ratu Elizabeth II yang mela-wat Dubbo pada 1954 dan 1992.

Pasangan diraja itu memulakan jelajah Pasifik selama 16 hari Isnin lepas apabila mereka mendarat di Sydney dan hampir serta-merta mengumumka­n kehamilan duchess.

Mereka melawat Melbourne pada hari ini (Khamis) sebelum mereka kembali ke Sydney.

Esok (Jumaat) putera itu akan menaiki Sydney Harbour Bridge dan menaikkan bendera untuk merasmikan Sukan Invictus, sebuah kejohanan sukan untuk kakitangan tentera yang cedera. — AFP

 ??  ??
 ?? Gambar Reuters ?? HARRY dan Meghan menyaksika­n persembaha­n tarian tradisiona­l ketika menghadiri acara perkelahan komuniti di Victoria Park di Dubbo semalam. —
Gambar Reuters HARRY dan Meghan menyaksika­n persembaha­n tarian tradisiona­l ketika menghadiri acara perkelahan komuniti di Victoria Park di Dubbo semalam. —

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia