DIHADKAN DUA PENGGAL
Tempoh jawatan PM, MB dan Ketua Menteri
KUALA LUMPUR: Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri
Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
Dr Mahathir ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu berkata selain itu, Perdana Menteri juga tidak dibenarkan untuk memegang porfolio lain. Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada keutamaan dan penekanan baharu dalam mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.
Dr Mahathir berkata peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga diasingkan supaya diurus oleh dua individu yang berlainan untuk mempertingkatkan mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat.
Bagi menambah baik sistem pilihan raya pula, Perdana Menteri berkata had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenalkan.
“Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media,” katanya.
Katanya kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.
“Sistem jawatankuasa pemilih akan diwujudkan. Jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen,” katanya.
Dr Mahathir berkata hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme.
#Bersambung di muka A2#