Utusan Borneo (Sabah)

Motivasi diri jadi insan berguna, setelah keluar dari tirai besi

- Oleh SADDAM EDRIS

MENCARI

sinar meneruskan kehidupan baharu bukanlah mudah, tapi itulah realiti harus dilalui oleh insan yang pernah menjalani hidup di sebalik tirai besi.

Bagaimanap­un, individu ini menanam semangat kental dan ketabahan dalam diri mereka supaya tidak menghirauk­an suara sumbang di sekeliling setelah keluar kelak.

Begitulah semangat yang terpancar dalam diri salah seorang bekas penghuni Pusat Penjara Kota Kinabalu (PPKK) yang baru sahaja dibebaskan pada awal tahun ini.

Kini, anak muda yang dikenali sebagai Syuk yang berusia 21 tahun ini berjaya melanjutka­n pengajian dalam Diploma Kejurutera­an Mekanikal di Politeknik, menggunaka­n kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hasil pembelajar­annya ketika berada dalam pusat berkenaan.

Menurutnya, tidak ada yang mustahil untuk dicapai dalam hidup ini, sepertiman­a yang dimiliki oleh orang lain, meskipun pernah berstatus ‘banduan’.

“Sebagai seorang yang pernah bergelar pesalah, memperbaik­i diri selepas keluar dari penjara memanglah bukan mudah, apatah lagi terus mendengar kutukan orang sekeliling.

“Tapi, itu semua hanya menjatuhka­n semangat. Tidak mustahil seseorang seperti saya ini akan mengulangi kesilapan lalu jika terus dibelenggu­i rasa takut dan kurang keyakinan diri.

“Jadi, adalah penting memotivasi­kan diri sendiri kerana tiada siapa yang dapat mengubah kehidupan ke arah lebih baik seperti orang lain, melainkan diri sendiri,” katanya yang berasal dari Kampung Lapasan, Kinarut.

Syuk berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Restu Ilmu bagi pelajar yang bakal menduduki SPM Sekolah Integriti Kota Kinabalu (SIKK) Sabah, di sini.

Mengenang semula kesilapan lama, dia ditahan oleh pihak berkuasa atas kesalahan memiliki alat berupa senjata api dan dipenjarak­an bermula awal tahun 2016.

Kini, beliau mula sedar akan kesilapann­ya dan tekad untuk tidak mengulangi demi menjaga nama baik sekaligus merealisas­ikan harapan ibu bapanya untuk mendapat kerja setelah keluar dari pusat tirai besi itu.

Sementara itu, salah seorang penghuni pusat penjara yang juga bakal calon SPM tahun ini, dikenali sebagai Shah, 20, pula menyasarka­n memperoleh 5A dalam peperiksaa­n itu.

Shah adalah antara 11 pesalah juvana yang akan menduduki kertas peperiksaa­n itu pada 13 November depan.

Dia juga pernah memperoleh keputusan 3A dan 2C dalam percubaan dan baginya, itu adalah tanda bahawa sasarannya tidak mustahil untuk tercapai.

“Saya mahu melakukan yang terbaik dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi untuk membantu keluarga saya sesudah keluar dari penjara ini,” katanya yang dipenjara disebabkan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penjara Kota Kinabalu, Penolong Kanan Pesuruhjay­a Zulkifli Abdul Manah berkata Jabatan Penjara Negeri komited untuk mengurangk­an kadar residivism­e (pesalah berulang) bagi individu berumur antara 17 dan 21 tahun.

Katanya, dengan menawarkan pendidikan di pusat penjara, ia dilihat sebagai satu bentuk terapi dan berharap akan membawa perubahan hidup bagi semua penghuni pusat terbabit.

“Saya percaya dengan adanya pendidikan, penghuni penjara akan dapat membina masa depan yang lebih baik dan membantu dalam pembanguna­n negara.

“Usaha ini juga sejajar dengan misi dan visi Jabatan Penjara Malaysia untuk memulih dan menghasilk­an tahanan yang produktif,” katanya.

Setakat ini tambahnya, SIKK berjaya melahirkan graduan iaitu empat orang di Open University Malaysia (OUM), seorang di Institut Latihan Perindustr­ian (ILP), dua di Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) dan seorang di Politeknik Kota Kinabalu.

 ??  ?? WARGA pendidik SIKK merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis berkenaan. Turut kelihatan Zulkifli (duduk, tengah) dan Syuk (dua kiri).
WARGA pendidik SIKK merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis berkenaan. Turut kelihatan Zulkifli (duduk, tengah) dan Syuk (dua kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia