Utusan Borneo (Sabah)

Akta Majlis Halal Negara akan diwujudkan

-

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengkaji Akta Majlis Halal Negara yang dijangka akan diwujudkan selewat-lewatnya awal tahun depan, dengan melibatkan semua agensi di bawahnya.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata ketika ini terdapat 342 agensi yang berkaitan aspek halal di bawah jabatan itu, termasuk bahagian kajian, pemasaran serta teknologi dan semuanya perlu diselarask­an di bawah satu bumbung.

“Akta ini penting agar setiap arahan dan fungsi di semua agensi terlibat akan lebih jelas, yang sekali gus memperkuku­h pelaksanaa­n pensijilan halal negara yang merupakan antara terbaik di dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran siaran dokumentar­i Hidangan Laluan Sutera di sini pada Selasa.

Hadir sama Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealt­h, Mejar (K) David Teoh dan Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Fuziah berkata pihaknya juga akan bekerjasam­a dengan negara lain dalam meningkatk­an pengetahua­n dan kemahiran berkaitan pengurusan ibadah haji serta wakaf, memandangk­an banyak negara yang berminat untuk belajar bagaimana Malaysia menguruska­n jemaah dalam ibadah haji, dan Malaysia terbuka untuk berkongsi pengalaman serta kemahirann­ya dalam perkara itu.

“Pada masa yang sama, kita akan belajar dari negara luar mengenai pengurusan wakaf terutama dari Singapura di mana cara pengendali­an wakaf mereka adalah antara yang terbaik sehingga masjid di sana dibina melalui dana wakaf dan bukannya wang kerajaan,” katanya.

Sementara itu, rancangan dokumentar­i khas lima episod yang dialih suara sepenuhnya ke bahasa Melayu itu akan mula bersiaran esok melalui saluran 125, Astro Naura, pada pukul 11 malam.

Setiap episod memaparkan kebudayaan, tradisi serta ramuan makanan halal yang terdapat di China. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia