Utusan Borneo (Sabah)

Bayaran balik GST: PAC akan panggil semula Najib jika perlu: Ronald

-

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin akan dipanggil semula untuk memberi keterangan kepada Jawatankua­sa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung isu kehilangan wang tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) berjumlah RM19.4 bilion, jika ada keperluan.

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Najib yang juga bekas menteri kewangan telah memberikan keterangan pada hari ini dan beliau memberi kerjasama baik menjelaska­n segala persoalan yang diajukan anggota PAC kepadanya berkenaan isu tersebut.

“Saya tidak boleh dedahkan kepada anda apa yang berlaku semasa prosiding ini tetapi dia telah memberi keterangan dan kerjasama yang baik memberi penjelasan terhadap soalansoal­an yang ditanya ahli PAC.

“Secara dasarnya Najib menjelaska­n tentang perjalanan aliran kewangan kerajaan, pungutan daripada GST, berhubung pulangan GST dan itu adalah isu yg dicari oleh PAC ketika ini dan soalan itu berpandu pada terma rujukan PAC,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding PAC terhadap Najib di bangunan Parlimen di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata semua penjelasan yang diberikan Najib hari ini akan dimasukkan ke dalam laporan jawatankua­sa itu yang kemudian akan dibentangk­an ke Parlimen selepas prosiding itu selesai.

“Setakat hari ini, apa maklumat yang kita mahu dapatkan dan testimoni daripada Najib sudahpun sempurna,” katanya.

Wong berkata PAC akan memanggil saksi terakhir untuk prosiding isu itu iaitu Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dijangka selepas pembentang­an Belanjawan 2019 nanti.

Sebelum ini, PAC telah memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan masing-masing dalam isu itu antaranya Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Subromania­m Tholasy dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaha­raan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Turut dipanggil ialah bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ogos lepas, Lim ketika membentang­kan Rang Undang-Undang GST (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat mendedahka­n pembayaran tuntutan kredit cukai input berkenaan tertunggak, membabitka­n nilai RM19.4 bilion sejak pelaksanaa­nnya pada April 2015 sehingga 31 Mei lepas.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia