Utusan Borneo (Sabah)

Terpulang kepada pembangkan­g bergabung: Shafie

- Oleh SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Tindakan parti-parti pembangkan­g membentuk Gabungan Bersatu Sabah (GBS) bukan satu ancaman kepada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, terpulang kepada pembangkan­g untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahukan.

“Orang-orang ini kalau mahu bergabung... bergabungl­ah, tapi yang bergabung ni orang-orang Umno juga.

“Saya rasa rakyat keseluruha­nnya lebih tahu apa yang berlaku di Sabah dan tahu apa yang mereka mahukan.

“Saya yakin rakyat Sabah kini lebih memandang ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Pusat Konvensyen Antarabang­sa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan empat parti pembangkan­g yang bergabung menubuhkan GBS secara rasmi pada Rabu.

Shafie berkata, kerajaan baharu tidak mahu tunduk dengan apa juga tindakan yang dibuat pembangkan­g.

Apa yang penting jelasnya, ekonomi perlu ditingkatk­an kerana rakyat mahukan pekerjaan dan kerajaan mesti memenuhi kehendak rakyat.

“Suara rakyat Sabah sudah memilih dan hormatilah majoriti. Tetapi jika perlu berdepan pilihan raya, kita akan berdepan dengan mereka,” katanya.

Penubuhan GBS yang melantik Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai Pengerusi Sementara melibatkan Parti Bersatu Sabah (PBS), Umno, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia