Utusan Borneo (Sabah)

Hasanah mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah USD 12.1 juta

-

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidik­an Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abdul Hamid mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah USD12.1 juta milik kerajaan Malaysia, pada April lepas.

Hasanah yang tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 8.30 pagi, merupakan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Ahmad selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Hasanah, 61, dalam kapasitiny­a sebagai penjawat awam telah melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidik­an JPM, Kompleks JPM, Pusat Pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Kamal Baharin menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta, bagaimanap­un Shaharudin memohon jumlah itu dikurangka­n dan mencadangk­an anak guamnya hanya dibenarkan jaminan RM300,000 mengambil kira beberapa faktor termasuk Hasanah merupakan seorang bekas ketua pengarah perisikan yang banyak berjasa dan turut menyumbang kepada keamanan negara.

Shaharudin turut menegaskan tuduhan terhadap Hasanah tiada kaitan dengan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaha­raan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia