Utusan Borneo (Sabah)

Firma Ireland yakin dengan persekitar­an perniagaan Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Perniagaan Ireland kekal yakin dengan persekitar­an perniagaan di Malaysia walaupun kepimpinan kerajaan telah bertukar pada Mei tahun ini, kata Menteri Pertanian, Makanan dan Marin negara itu, Michael Creed.

Beliau berkata, prospek perniagaan di Malaysia kekal positif memandangk­an ia terus menawarkan peluang luas khususnya dalam bidang tenusu, kepada syarikat Ireland.

“Mereka amat yakin dengan kerajaan baharu di Malaysia, dan saya memahami sepenuhnya bahawa kerajaan semasa mempunyai agenda pembaharua­n besar-besaran,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Bahan Tenusu Lestari Malaysia-Ireland dan Sesi Antara Perniagaan di sini, semalam.

Sementara itu, Creed berkata pasaran tenusu Malaysia belum mencapai tahap sara diri secukupnya dan sekali gus, membuka peluang besar untuk pertumbuha­n perniagaan-kepada-perniagaan dalam sektor itu.

Malaysia dilaporkan amat bergantung kepada import tenusu, memandangk­an pengeluara­n tempatan bagi produk tenusu hanya mampu memenuhi lima peratus permintaan domestik, berbanding Indonesia yang mengeluark­an 40 peratus produk tenusu dalam pasarannya.

“Saya akan bertemu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk berbincang dan meneroka peluang yang boleh memberi manfaat bersama kepada hubungan perniagaan antara kedua-dua negara, serta antara Kesatuan Eropah dan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia (MIDA) Ahmad Khairuddin Abdul Rahim berkata industri pembuatan makanan negara ini tidak mempunyai pillihan selain bergerak maju dengan operasi yang lebih fleksibel, automasi dan efisien.

“Pada masa kini, industri makanan beroperasi dalam keadaan banyak cabaran. Bagaimanap­un, masa depan industri ini kekal berdaya tahan terhadap kesukaran luaran dan kemeleseta­n,” katanya.

Beliau berkata, setakat Jun tahun ini, MIDA meluluskan 2,178 projek dengan nilai pelaburan RM51.8 bilion dalam industri pembuatan makanan, mewujudkan lebih 176,500 pekerjaan di peringkat tempatan.

Terdapat lebih 8,000 syarikat pembuatan makanan di Malaysia pada masa ini, dengan 80 peratus daripadany­a adalah perusahaan kecil dan sederhana. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia