APMM tahan tiga tekong, 36 PTI di perairan Lukut
PORT DICKSON:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan tiga tekong bersama 36 Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan di sekitar perairan Lukut, di sini baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun itu, ditahan dalam dua operasi berasingan.
Beliau berkata dalam kes pertama, seramai tiga tekong warganegara Indonesia dan 16 lelaki warganegara Bangladesh ditahan pada jam 2.33 pagi oleh anggota maritim yang melakukan rondaan rutin harian di sekitar perairan tersebut.
“Dalam operasi tersebut, anggota maritim telah terserempak dengan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkannya untukberhenti,namuntidakdiendahkan malah terus memecut laju.
“Pasukan peronda mengejar bot berkenaan dan akhirnya berjaya menahan bot yang disyaki di kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika di barat daya Kuala Lukut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Amran berkata pemeriksaan lanjut mendapati bot fiber tanpa nombor pendaftaran dengan enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda digunakan untuk membawa PATI memasuki negara melalui jalan tidak diwartakan.
Beliau berkata tangkapan kedua dibuat sekitar jam 3.15 pagi tadi di kedudukan 0.1 batu nautika persisir pantai Kampung Teluk, Lukut, dekat sini.
“Tangkapan dibuat pihak Maritim Malaysia dalam satu operasi khas melalui intipan dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat APMM Putrajaya yang menerima maklumat sebuah bot berapung dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.
“Anggota maritim telah menyerbu untuk menahan bot tersebut namun gagal dan bot terbabit terus memecut laju ke arah laut setelah menurunkan PTI,” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun pihaknya berjaya memberkas 20 orang termasuk seorang wanita warganegara Bangladesh disyaki baru sahaja mendarat di perairan Malaysia.- Bernama