Kerajaan Persekutuan harus jadikan Belanjawan Sarawak 2019 sebagai cabaran
KUCHING: Kerajaan persekutuan harus menjadikan Belanjawan Sarawak 2019 sebagai cabaran dan amaran untuk mereka meningkatkan agihan peruntukan yang lebih besar kepada negeri ini.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Belanjawan Sarawak kali ini menyimpan sejarah bukan sahaja dari segi perbelanjaan tetapi juga bagaimana Sarawak dapat meningkatkan pendapatannya untuk dikembalikan semula kepada rakyat.
“Saya merasakan bahawa belanjawan yang dibentangkan tadi (semalam) sudah pasti akan menganjak Sarawak bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal malah kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya. “Yang menjadi kekhuatiran saya, komitmen Kerajaan Sarawak ini akan memperlihatkan kerajaan persekutuan terus meminggirkan Sarawak dari segi peruntukan. “Saya berharap kerajaan persekutuan melihat ini sebagai cabaran dan amaran untuk mereka meningkatkan lagi peruntukan kepada Sarawak sebagaimana yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Baharu di sini semalam selesai pembentangan cadangan Belanjawan Sarawak 2019 oleh Ketua Menteri sempena Persidangan DUN.
Satu lagi pendekatan yang dikagumi Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mengambil alih projek-projek yang tidak dapat dilaksanakan kerajaan persekutuan. Sebagai contoh katanya, projek sekolah daif tidak ada peruntukan khas kepada Sarawak bagi tujuan membina semula atau baik pulih sekolah daif di negeri ini di bawah Belanjawan 2019. Susulan itu, Kerajaan Sarawak katanya mengambil inisiatif dengan memperuntukkan RM200 juta untuk mengangani isu sekolah daif.
Di samping itu katanya, Kerajaan Sarawak juga mengambil beberapa projek infrastruktur asas yang telah dijanjikan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini seperti Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Rambungan. Kedua-dua jambatan itu katanya, adalah penting untuk kemudahan rakyat dan meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri ini.