Utusan Borneo (Sabah)

Produk Bee Factory catat nilai jualan lebih RM5.5 juta

-

MELAKA: Produk berasaskan madu jenama Bee Factory keluaran Madu Tiga Sdn Bhd berjaya mencatat jualan lebih RM5 juta walaupun baharu beroperasi mulai November tahun lepas.

Pengarah Urusannya, Nor Ashikin Ismail berkata, nilai jualan meningkat dari bulan ke bulan dan sebanyak RM1.4 juta dicatatkan pada Oktober lepas.

“Penjualan produk Bee Factory mendapat permintaan tempatan di luar jangkaan dan kita telah mempunyai kira-kira 30 stokis di seluruh negara.

“Kita berhasrat menjadikan Bee Factory sebagai produk madu yang dapat melonjakka­n pasaran industri makanan sunnah di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian ‘Bee Man Challenge’ di sini, kelmarin.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith dan turut dihadiri artis Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu dan Amirul Hisyam Mohd Syakri (Pablo Amirul) yang menerima cabaran ‘Most Number of Bees on Human Body (Male)’ anjuran syarikat berkenaan.

Nor Ashikin berkata, produk Bee Factory telah berada di rangkaian KK Mart dan stesen minyak Shell serta Petronas selain boleh didapati di platform perniagaan atas talian Shopee.

Menurutnya, antara produk madu yang mendapat sambutan tinggi ialah Bee Factory Honey Bar, Honey Ginger Crystal dan Honey Gold.

Sementara itu, katanya, produk Bee Factory juga telah berjaya memasuki pasaran antarangsa, iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia dan pihaknya sedang berusaha untuk mengembang­kan pasaran di negara Asia lain dalam tempoh terdekat.

“Yang terbaharu adalah pasaran Indonesia dengan memasuki rangkaian Indo Mart di sana,” katanya.

Pihaknya juga merancang untuk membuka ladang penternaka­n lebah sendiri kerana sekarang ini ia bekerjasam­a dengan pemilik ladang lebah lain untuk menghasilk­an produk mereka.— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia