Utusan Borneo (Sabah)

Rasuah: Tiga anggota polis ketahui nasib 23 Januari 2019

-

KOTA KINABALU: Tiga anggota polis antaranya seorang wanita yang didakwa menerima dan meminta rasuah, akan mengetahui nasib mereka pada 23 Januari tahun hadapan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan tarikh itu terhadap Elly Boniface Siew@Siu Tusuk, 36, Mohd Faiz Mohd Yusof, 33, dan Liza Ambau, 39, selepas kes ditutup pada peringkat akhir pendakwaan.

Mereka akan mengetahui sama ada dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan atau dipanggil membela diri.

Elly Boniface sebagai koperal polis di Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah Penampang, didakwa meminta suapan wang tunai sebanyak RM6,000 daripada Wong Kian Shung.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, terhadap Dahlia Andreas yang positif dadah semasa ujian saringan awal air kencing.

Kesalahan itu dilakukan pada 8 April 2016 antara jam 11 malam hingga jam 12 tengah malam, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Penampang, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia( S P R M )2009, dihukum mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan.

Sabit salah boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Mohd Faiz didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (1) Akta SPRM 2009, dihukum mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan, kerana menerima suapan.

Pertama, pada 9 Februari 2016 jam 10 malam, di kawasan parkir Restoran Nikmat, Donggongon, Penampang, tertuduh menerima RM1,000 daripada Zaleha Brahim supaya tidak mengambil tindakan terhadap Rinciah Labih yang positif dadah.

Kedua, pada 10 Februari 2016 antara jam 12 tengah hari hingga jam 7 malam, di tempat sama, tertuduh menerima RM2,000 daripada Zaleha, bagi tujuan sama.

Hukuman yang diperuntuk­kan penjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau denda RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Ketiga, Mohd Faiz didakwa mengikut Seksyen 16 (1) (b) Akta SPRM 2009, kerana meminta sebanyak RM6,000 daripada Wong, agar tidak mengambil tindakan terhadap Dahlia.

Kesalahan dilakukan pada 8 April 2016 jam 11 malam hingga jam 12 tengah malam, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Penampang, di sini.

Liza sebagai koperal polis juga didakwa atas pertuduhan sama, meminta wang sebanyak RM3,000 daripada Wong bagi tujuan sama, pada hari dan di tempat sama.

Abu Bakar memerintah­kan pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan mereka sebelum atau pada 20 Disember dan dibalas 11 Januari.

Kini ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 deposit RM5,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia