Iktibar kaedah dakwah penuh hikmah
Ziarah masjid dan makam Wali Songo
KETIKA berada di Jawa Tengah, rombongan berpeluang melawat dan mengerjakan solat di Masjid Agung Jawa Tengah, Semarang, Jawa Tengah.
Masjid dengan rekabentuk unik dan dilengkapi enam payung itu mirip dengan Masjid Nabawi di Kota Madinah, Arab Saudi.
Kembara tujuh hari yang bermula dari Jakarta ke Surabaya dan berpatah balik ke Jakarta itu berjaya menziarahi kesemua sembilan makam Wali Songo atau Wali Allah yang dijuluki sebagai Sunan.
Bagi mereka yang pertama kali menziarahi makam-makam para aulia ini, jangan cemas jika anda diserbu oleh peminta sedekah, terutama sekali di Makam Sunan Gunungjati. Gunakan budi bicara anda secara ikhlas.
Makam pertama yang diziarahi ialah Sunan Gunung Jati, yang terletak di Cirebon, Jawa Barat.
Sembilan Wali Songo itu ialah Sunan Gresik (Syekh Maulana Ibrahim) terletak di Gresik, Sunan Ampel (Raden Rahmat) di Surabaya, Sunan Bonang (Syekh Maulana Makdum Ibrahim) di Tuban dan Sunan Derajat (Raden Qasim, yang juga adek Sunan Bonang) di Lamongan, Jawa Timur.
Sunan Kalijaga (Raden Said) di Kadilangu Demak, Sunan Kudus (Ja’far Shadiq) di Kudus, Sunan Muria (Raden Umar Said) di gunung Muria Kudus, Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) di Cirebon dan Sunan Giri (Syekh Maulana Ishak) di Giri Gresik.
Hanya makam Sunan Muria yang terletak di Desa Colo, Kecamatan Dawe, Kabupaten Kudus berada di atas bukit setinggi kira-kira 1,600 meter dari permukaan laut.
Kompleks Sunan Muria merupakan salah satu monumen hidup dan terdapat juga sebuah bangunan masjid.
PERKHIDMATAN OJEK
Perkhidmatan ojek atau sepeda motor yang ditambangkan dengan cara membonceng penumpang, kereta kuda dan beca dikenakan bagi beberapa dari perhentian bas ke makam Wali Songo.
Menurut sejarah, sembilan Wali Songo itu tidak hidup pada satu masa, namun mereka satu sama lain mempunyai keterkaitan erat, termasuklah ikatan dalam hubungan muridmurid.
Sunan Gunung Jati adalah sahabat para Sunan lain, kecuali Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) yang lebih dahulu meninggal dunia.
Sunan-Sunan itu memperkenalkan pelbagai bentuk beradaban baharu, bermula dari kesihatan, bercucuk tanam, berniaga, kebudayaan dan kesenian, kemasyarakatan hingga pemerintahan.
Pesantren Ampel Denta dan Giri adalah dua institusi pendidikan paling penting di masa itu. Dari Giri, peradaban Islam berkembang ke seluruh wilayah timur Nusantara.
Menurut sejarah, Sunan Giri dan Sunan Gunung Jati bukan hanya ulama, tetapi juga pemimpin pemerihatanan.
Sementara itu, pengerusi penganjur kembara ziarah Wali Songo Datuk Haji Rimin Haji Maidin berkata ia adalah program kali kedua, bertujuan mengambil iktibar kaedah dakwah yang penuh hikmah para Umara, Ulama dan Dai’ keturunan Rasulullah SAW.
Menurutnya, kejayaan ziarah makam Wali Songo pertama telah mendorong beliau untuk meneruskan program yang sama, terutama sekali bagi memenuhi permintaan individu yang ingin melakukan ziarah.
“Program ziarah Wali Songo ini lebih bersifat inisiatif persendirian kerana secara kebetulan saya mempunyai pengalaman membawa rombongan sebelum ini,” katanya.
Rata-rata peserta berpuas hati dengan pengendalian kembara Ziarah Makam Wali Songo di Indonesia yang bermula 21 hingga 27 Oktober lepas.
Seorang peserta, Antoni Satu berkata beliau memperolehi banyak pengetahuan berguna sepanjang lawatan itu, terutama dari segi memahami peranan dan sumbangan Wali Songo dalam mengembangkan syiar Islam di Nusantara.