Utusan Borneo (Sabah)

Badminton sudah sebati dalam hidup Chong Wei: Misbun

-

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorang­an lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menyifatka­n keputusan anak didiknya Datuk Lee Chong Wei kembali mewarnai sukan badminton adalah satu kejutan dan berita gembira untuk peminat di seluruh dunia.

Misbun percaya hanya kegembiraa­n di gelanggang sahaja dapat mengubati setiap kesakitan yang dihidapi oleh jaguh badminton itu yang kini telah sembuh daripada barah hidung tahap satu.

“Peminat-peminat semua rindu dengan corak permainan dia di gelanggang. Saya percaya apabila ilmu badminton sudah tertanam dalam dirinya, sampai bila-bila semangat itu sentiasa ada.

“Sekarang ini saya percaya, dalam hatinya (semangat) lebih baik daripada dulu. Apabila dia beritahu akan kembali ke gelanggang sudah tentu harapan dan semangat juangnya tinggi. Ramai orang yang mengalami nasib sama seperti Chong Wei akan berputus asa. Tetapi Chong Wei sangat luar biasa.

“Saya tidak terkejut kalau prestasiny­a masih seperti dulu dan mungkin lebih baik lagi,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini pada Jumaat.

Chong Wei pada Khamis mengumumka­n keputusann­ya untuk terus beraksi dalam arena badminton dan menyasarka­n penampilan kelima di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Beliau merupakan pemenang pingat perak tiga kali berturut-turut di Olimpik bermula 2008, 2012 dan 2016.

Beliau sebelum ini berehat seketika dalam arena badminton selama empat bulan kerana perlu menjalani rawatan kanser di Taiwan dan dijangka kembali ke gelanggang pada bulan depan.

Misbun berkata pihak kejurulati­han tidak akan melakukan perubahan drastik dalam program latihan sebaliknya mengikut keperluan bekas pemain nombor satu dunia itu.

”Saya rasa tidak perlu perubahan yang drastik dalam program latihan. Dia tahu bagaimana perlu mulakan latihan dan meningkatk­an latihannya mengikut peringkat yang biasa dilakukann­ya. Sekarang ini pihak kejurulati­han perlu bersabar dengan permintaan beliau (tahap latihan mengikut kemampuan Chong Wei) dan modul-modul yang akan diberikan kepadanya.

“Paling penting adalah memastikan Chong Wei memulakan latihan dengan tenang, tidak perlu banyak fikir dan ini akan membawa kepada satu penampilan yang baharu untuk dirinya,” katanya.

Dalam pada itu jurulatih Chong Wei, Hendrawan berkata beliau gembira pemain itu membuat keputusan kembali beraksi dan memuji semangat Chong Wei dalam sukan badminton masih tinggi.

“Mengenali Chong Wei, beliau seorang yang mempunyai matlamat. Apabila beliau umum mahu meneruskan kariernya, itu bermaksud beliau menyasarka­n sesuatu. Chong Wei bukan pemain yang sekadar bermain, beliau tahu apa yang dia mahu.

“Saya tidak risau tentang teknik atau skill kerana saya percaya Chong Wei tiada masalah mengenai hal itu. Manamana pemain hebat di dunia dua perkara itu tidak akan hilang. Paling penting adalah mengembali­kan semula kecergasan­nya,” kata Hendrawan.

Hendrawan antara jurulatih yang bersama-sama Chong Wei di saat pemain itu menghadapi situasi sukar iaitu sebelum ini didapati positif doping jenis dexamethas­one pada Oktober 2014.

Jelasnya biarpun mempunyai hubungan rapat dengan Chong Wei, Hendrawan berkata keputusan Chong Wei kembali ke gelanggang adalah satu kejutan kerana tiada perbincang­an diadakan mengenai perkara itu.

“Saya tidak pernah tanya dan dia sendiri juga tidak pernah beritahu mengenai status kariernya. Sebelum ini saya hanya melawat beliau dan bercakap soal kesihatann­ya sahaja,” katanya. - Bernama

 ??  ?? CHONG WEI
CHONG WEI
 ??  ?? MISBUN
MISBUN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia