Kerajaan sediakan sokongan untuk lonjakkan lagi industri perabot

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Kerajaan, bersama-sama agensi berkaitan, akan terus menyediakan sokongan untuk melonjakkan lagi industri perabot.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, industri itu menyumbang eksport bernilai RM10.1 bilion pada 2017, dan nilai itu disasarkan mencecah RM12 bilion menjelang 2020.

“Menyedari sumbangan besar industri perabot kepada ekonomi negara, kerajaan akan memberi lebih penekanan kepada aktiviti hiliran bernilai tambah tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, peserta industri ini perlu menerima guna pembuatan pintar bagi meningkatkan kualiti, mengurangkan tempoh pengeluaran dan menggantikan kerja berkemahiran rendah, untuk industri perabot mencapai kejayaan.

“Syarikat digalakkan menggunakan teknologi baharu dan automasi sebanyak yang mungkin untuk meningkatkan produktiviti dan melonjakkan eksport,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi MIFF, Datuk Tan Chin Huat berkata pameran perabot tahunan itu telah memenuhi objektifnya untuk menjadi platform eksport perabot Malaysia.

“Sebagai pasaran perdagangan eksport perniagaan kepada perniagaan, jualan di MIFF menyumbang 30 hingga 40 peratus kepada nilai eksport perabot tahunan Malaysia,” katanya.

MIFF merekodkan jualan bernilai US$984 juta bagi tahun ini berbanding AS$940 juta pada 2017. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.