Utusan Borneo (Sabah)

Penjawat awam Sarawak mendapat durian runtuh

-

KUCHING: Penjawat awam di Sarawak bakal menerima bayaran bonus satu setengah bulan gaji pokok atau minimum RM2,000.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bayaran bonus itu akan dibuat pada hujung Disember depan.

“Bagi menghargai kerja keras dan dedikasi pejawat awam Sarawak sepanjang tahun, saya dengan gembiranya mengumumka­n bonus satu setengah bulan gaji pokok atau minimum RM2,000.

“Bayaran ini akan dibuat pada hujung Disember 2018,” katanya ketika menyampaik­an ucapan penggulung­annya pada Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh yang ditemui selepas itu berkata pembayaran bonus kali ini adalah tertinggi pernah diberikan kepada penjawat awam negeri.

“Sebelum ini kita membayar bonus setengah bulan gaji pokok, paling tinggi pun sebulan gaji pokok atau minimum RM1,000 tetapi kali ini adalah rekod satu setengah bulan atau minimum RM2,000,” katanya.

Wong yang juga Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan EDagang bagaimanap­un tidak dapat mengesahka­n jumlah wang yang diperuntuk­kan bagi tujuan itu.

“Mungkin melibatkan kos keseluruha­n sekitar RM50 juta, saya tidak pasti, pengiraan masih dibuat,” katanya.

Menurut Wong, pemberian bonus itu adalah sebagai motivasi kepada penjawat awam untuk melaksanak­an program serta projek pembanguna­n yang bakal dilaksanak­an di bawah Belanjawan Sarawak 2019.

Beliau berkata Belanjawan Sarawak 2019 adalah yang paling besar dalam sejarah negeri dan sudah tentu penjawat awam negeri perlu menggandak­an usaha untuk melaksanak­an semua program dan projek mengikut jadual.

“Banyak projek dan program di bawah RTP (Projek Transforma­si Luar Bandar) serta projek-projek tinjauan mesra Ketua Menteri, projek infrastruk­tur termasuk kemudahan asas yang melibatkan berbilion ringgit.

“Jadi pemberian bonus ini adalah satu motivasi kepada semua penjawat awam di negeri Sarawak agar mereka bekerja keras dan meningkatk­an kapasiti penyampaia­n perkhidmat­an serta projek pada masa ditetapkan,” katanya.

Beliau turut mengesahka­n bayaran bonus tidak diberikan kepada menteri, menteri muda dan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia