Utusan Borneo (Sabah)

PM Pakistan Imran Khan mulakan lawatan rasmi ke Malaysia Selasa

-

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Pakistan Imran Khan akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula esok, lawatan sulungnya ke negara ini sejak dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos lepas.

Semasa lawatan itu atas jemputan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kedua-dua pemimpin akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak menilai semula hubungan dan kerjasama sedia ada serta mengenal pasti bidang baharu bagi kerjasama pada masa hadapan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata lawatan tersebut menggarisk­an betapa pentingnya Malaysia melihat hubunganny­a dengan Pakistan.

“Ia juga akan memberi peluang bagi kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu global dan serantau yang menjadi perhatian umum,” kata Wisma Putra.

Bulan lepas, Imran Khan membuat panggilan telefon kepada Dr Mahathir, dan dalam perbualan tersebut, Perdana Menteri Pakistan itu menyatakan hasratnya untuk mengadakan lawatan ke Malaysia pada tarikh seawal mungkin.

Majlis sambutan rasmi bersempena lawatan rasmi Imran Khan itu akan diadakan pada Rabu di Dataran Perdana di sini.

Selepas mesyuarat dua hala itu, Dr Mahathir dan Imran Khan juga akan menyaksika­n majlis menandatan­gani Perjanjian Bersama Penghapusa­n Visa (Separa) antara kerajaan Malaysia dan Pakistan di Pejabat Perdana Menteri.

Wisma Putra berkata Imran Khan dijadual menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang menjalanka­n tanggungja­wab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Pakistan itu juga dijadual mengadakan lawatan ke Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Wisma Putra berkata Malaysia dan Pakistan sudah menjalinka­n hubungan dua hala yang sekian lama dalam bidang pendidikan, pelanconga­n, kerjasama pertahanan dan bantuan teknikal.

“Malaysia optimis lawatan ini akan memberi nafas baharu kepada kerjasama dua hala yang akan mengukuh dan meningkatk­an hubungan Malaysia dan Pakistan ke tahap lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Pada 2017, jumlah perdaganga­n dua hala antara kedua-dua negara dicatatkan pada RM5.76 bilion (USD1.34 bilion), peningkata­n 3.5 peratus berbanding pada 2016.

Pakistan adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia