Utusan Borneo (Sabah)

Dalang sindiket penyeludup­an migran di timur Johor dikenal pasti

-

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) mengenal pasti dalang utama sindiket yang dipercayai terbesar dalam menguruska­n penyeludup­an migran di timur Johor.

Ia susulan penahanan seorang tekong darat warga Indonesia berusia 26 tahun dalam satu operasi pemantauan di pesisir Pantai Tanjung Lompat dan Perairan Desaru, Kota Tinggi kira-kira 5.30 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata operasi itu yang dilaksanak­an bagi mengenal pasti lorong tikus digunakan sindiket penyeludup­an keluar dan masuk migran turut menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipercayai hendak ke negara asal.

Dua puluh daripadany­a adalah lelaki dan enam ialah perempuan, kesemuanya berusia lingkungan 18 hingga 46 tahun.

“Sindiket ini mengaut keuntungan yang besar dengan mengenakan bayaran dari RM1,000 hingga RM3,000 seorang tanpa mengambil kira keselamata­n penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Zulfadli berkata mereka yang ditahan dibawa ke jeti Zon Tanjung Sedili untuk pemeriksaa­n awal dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Mohd Zulfadli memberitah­u pihaknya turut menahan sebuah kapal tangki asing di perairan timur Johor pada 2 petang hari yang sama kerana didapati membawa sisa minyak atau barang buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Beliau berkata kapal yang didaftarka­n di Belize, Amerika Tengah itu turut membawa empat kru warga Indonesia berusia 27 hingga 40 tahun.

“Penahanan dibuat pada jarak 12 batu nautika timur Tanjung Lompat Desaru dan kes diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk disiasat di bawah Seksyen 33B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, melibatkan larangan terhadap penempatan serta peletakan barangan terjadual, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia