Terengganu melakar sejarah
Akan lantik dua wanita jadi Adun dan senator
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu bakal melakar sejarah pentadbiran negeri itu apabila dua orang wanita akan dilantik sebagai seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang senator dalam usaha kerajaan negeri memartabatkan kaum itu dalam masyarakat.
Speaker Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata identiti Adun dan senator itu hanya akan diumumkan pada Persidangan DUN yang akan mula bersidang pada 25 Nov ini.
Katanya pelantikan senator berkenaan selaras dengan kekosongan jawatan itu manakala pelantikan Adun wanita diambil kira selepas tiada wakil rakyat wanita dalam pentadbiran negeri setakat ini.
“Pelantikan kedua-dua senator dan Adun berkenaan merupakan satu pembaharuan dan jaminan kepada kerajaan PAS di mana akan sentiasa memperbaiki sistem pentadbiran dari semasa ke semasa.
“Selain itu ia kita turut mengutamakan hak mereka dan tidak mahu kaum wanita ketinggalan dalam hal ehwal pentadbiran negeri ini,” katanya dalam perjumpaan ramah mesra bersama pengamal media Terengganu di sini pada Isnin.
Yahaya pada perjumpaan itu turut mengulas mengenai beberapa usul yang akan dibawa pada persidangan itu nanti termasuk isu pemilikan tanah simpanan (rizab) Melayu di negeri ini, belanjawan negeri tahun 2019 dan enakmen pentadbiran agama, syariah dan keluarga Islam.
Mengulas peranan dan hubungan media dengan kerajaan negeri, beliau mahu hubungan baik itu diteruskan dan menyifatkan kedua-duanya rakan kongsi strategik dalam membawa pembangunan ke negeri Terengganu.
Sehubungan dengan itu katanya kedua-dua pihak perlu memainkan peranan yang seimbang kerana jika tidak ia akan menjejaskan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri untuk kesejahteraan ekonomi dan rakyat negeri ini.
“Kita juga berharap apaapa perkara yang berlaku sepanjangtempohpentadbiran ini kita mohon di dilaporkan secara adil dan tepat dan jika ada kekurangan dalam kalangan pemimpin misalnya, bolehlah dibawa berbincang supaya ia boleh diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya. -Bernama