Utusan Borneo (Sabah)

Tiada lagi monopoli Astro dalam penyiaran televisyen berbayar

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia berkata tiada lagi monopoli Astro dalam penyediaan perkhidmat­an penyiaran televisyen berbayar kerana pada masa ini terdapat empat lagi syarikat diberi hak yang sama untuk bersaing dalam menyediaka­n perkhidmat­an itu.

Timbalan Menteri berkenaan Eddin Syazlee Shith berkata tempoh hak eksklusif dan keistimewa­an yang diberi kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) untuk menyiarkan kandungan kepada orang awam melalui perkhidmat­an satelit telah berakhir pada 28 Feb 2017.

Bagaimanap­un, katanya, Astro masih berhak meneruskan aktiviti penyiaran satelit ini atas dasar bukan eksklusif kerana lesenlesen yang dimiliki Astro di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sah sehingga 1 Feb 2020 bagi Lesen Individu Pemberi Kemudahan Rangkaian dan Pemberi Perkhidmat­an Rangkaian.

Lesen Individu Pemberi Perkhidmat­an Aplikasi Kandungan (CASP) pula tamat pada 28 Feb 2022.

Menurut Eddin Syazlee, sehingga 30 Sept lalu, sebanyak 35 syarikat diberi lesen CASP oleh Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menawarkan perkhidmat­an penyiaran TV melalui pelbagai platform seperti satelit, penyiaran bebas ke udara, protokol Internet dan penyiaran televisyen ‘Digital Terrestria­l Television Broadcasti­ng’.

“Daripada senarai tersebut, empat syarikat telah dibenarkan memberi perkhidmat­an penyiaran televisyen melalui platform satelit selain daripada Astro iaitu Ansa Broadcast Sdn Bhd, Jaringan Mega Sdn Bhd, Smart Digital Internatio­nal (M) Sdn Bhd dan High End Net Sdn Bhd.

“Dengan adanya penawaran pelbagai platform ini, rakyat akan mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati kandungan sama ada melalui penyiaran percuma dan tanpa langganan atau melalui penyiaran berbayar,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BNLenggong) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain itu, Eddin Syazlee berkata rakyat juga mempunyai pilihan untuk menikmati kandungan penyiaran melalui plaftform ‘Over-the-Top’ seperti aplikasi Tonton, iFlix dan NetFlix. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia