Utusan Borneo (Sabah)

Ibu tunggal rayu bantuan anak hidap leukemia

-

PADANG TERAP: Seorang ibu tunggal merayu sumbangan orang ramai bagi meringanka­n beban yang ditanggung selepas anak sulung daripada dua beradik disahkan menghidap penyakit leukemia sejak Ogos lepas.

Wan Rosna Wan Abdul Mutalib, 33, berkata sejak itu beliau tidak lagi boleh bekerja sebagai pembantu kedai makan, bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Hilmi Daniel Muhammad Syaifulhaz­nie, 12, dan seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun.

Katanya Muhammad Hilmi Daniel dikesan menghidap leukemia selepas kedua-dua belah pipi membengkak sebelum mengalami demam berpanjang­an hingga terpaksa menduduki peperiksaa­n Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam keadaan tidak bermaya.

“Masa itu saya tak tahu lagi penyakit dia (Muhammad Hilmi Daniel) dan dia gagahkan diri untuk masuk periksa walaupun tidak sihat hingga tamat UPSR, selepas itu saya bawa dia ke Hospital Kuala Nerang (HKN) dan tidak bersekolah hingga kini.

“Bagaimanap­un, anak saya itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat Alor Setar dan masuk wad selama sebulan, selepas sampel air tulang belakang (sum-sum) diambil, doktor sahkan dia menghidap leukemia,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Pinang, Mukim Pedu di sini pada Jumaat.

Wan Rosna berkata sebelum ini, beliau bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari selepas berpisah dengan suami sejak empat tahun lalu.

“Setakat ini, Muhammad Hilmi Daniel telah menjalani rawatan kimoterapi dan apa yang membingung­kan saya apabila dia sekali lagi akan menjalani rawatan itu pada 12 Disember ini, sedangkan saya tiada duit untuk membawanya ke hospital, sewa rumah juga kena bayar RM200 sebulan,” katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat membantu menyumbang bagi meringanka­n beban termasuk menyewa teksi untuk berulangal­ik ke HSB serta perbelanja­an di hospital nanti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia