Utusan Borneo (Sabah)

Pasangan AS menang $1.8 juta selepas temui semula tiket loteri hilang

-

WASHINGTON: Sepasang suami isteri dari Louisiana mempunyai lebih daripada sejuta sebab untuk rasa syu-kur pada Hari Kesyukuran ini selepas mereka menjumpai tiket loteri yang sudah lama hilang dan memenangi cepumas dengan hanya dua minggu sahaja lagi berbaki untuk menuntutny­a.

Harold dan Tina Ehrenberg menjumpai tiket yang memenangi AS$1.8 juta (RM7.2 juta) itu, dalam cabutan Lottery Lotto pada 6 Jun lalu di negeri selatan AS berkenaan, ketika mereka melakukan kerja pembersiha­n.

“Kami ada ahli keluarga yang datang ke sini untuk Hari Kesyukuran, lalu kami membersih rumah dan menjumpai beberapa tiket loteri di atas para-para saya yang kami tidak periksa,” kata Tina menurut satu kenyataan daripada Louisiana Lottery.

Pasangan itu menyemak laman sesawang Lottery tersebut dan mendapati salah satu tiket padan dengan semua nombor yang tersenarai, dan dapat menuntut hadiah mereka dengan hanya dua minggu sahaja berbaki dalam had 180 hari.

Selepas cukai negeri dan persekutua­n, keluarga Ehrenberg membawa pulang AS$1,274,313 (RM5.1 juta), yang mereka rancang untuk simpan bagi persaraan mereka.

“Kami tidak ada rancangan untuk membeli apa-apa yang gila atau melakukan perjalanan yang besar,” kata Tina.

Seorang pemenang di bandar Simpsonvil­le, Carolina Selatan, membawa pulang AS$1.5 bilion (RM6 bilion) dalam cepumas loteri Mega Millions di Amerika Syarikat pada bulan lepas, jauh mengatasi rekod lama yang dicipta pada Mac 2012 sebanyak AS$656 juta (RM2.6 bilion).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia