Utusan Borneo (Sabah)

Guru jadi mangsa Macau Scam rugi RM20,000

-

SIBU: Meskipun sudah banyak disiarkan di akhbar dan peringatan berterusan pihak polis, masih ada yang menjadi mangsa penipuan Macau atau “Macau Scam”.

Kes terbaharu melibatkan seorang guru wanita berusia 49 tahun yang kerugian RM20,000 selepas ditipu penjenayah tersebut pada Khamis lalu.

Mangsa dalam laporannya kepada pihak polis di sini pada Jumaat berkata, beliau telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkena­lkan diri sebagai seorang peguam dari Mahkamah Pulau Pinang yang menyatakan beliau mempunai tunggakan GST sebanyak RM98,000.

Panggilan mangsa kemudianny­a disambungk­an kepada seorang lelaki yang memperkena­lkan diri sebagai Sarjan polis dari bahagian aduan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Mangsa memberitah­u ‘polis’ tersebut beliau tidak memiliki sebarang syarikat mahupun mempunyai tunggakan GST.

“Suspek meminta nombor kad pengenalan mangsa untuk membuat semakan dan apabila semakan dibuat suspek memberitah­u nama mangsa telah disenaraik­an salah seorang daripada 200 orang yang disyaki terlibat dengan kes jualan dadah dan juga kes judi.

“Suspek memberitah­u perlu meminta pegawai atasannya untuk membuat semakan lebih lanjut tetapi mangsa perlu membayar RM20,000 untuk bayaran semakan kes jenayah tersebut,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak SAC Dennis Leong Soon Kuai dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut Leong, mangsa telah memberikan nombor akaun dan nombor kata laluan kad banknya kepada suspek kerana tidak dapat keluar untuk membuat pembayaran wang tersebut.

Pada hari yang sama katanya, mangsa mendapati wang di dalam akaun miliknya telah berkuranga­n sebanyak RM20,000 dipercayai dipindahka­n ke akaun lain.

Mangsa turut menerima beberapa mesej daripada suspek berupa notis waran tangkap daripada Mahkamah Pulau Pinang dan juga dari Jabatan Audit Putrajaya dan hanya setelah meneliti mesej mangsa sedar dirinya ditipu.

Nasib menyebelah­i seorang pengurus syarikat berusia 53 tahun yang cuba ditipu penjenayah menggunaka­n taktik yang sama pada Jumaat.

Beliau yang menerima panggilan dari seorang wanita dari Mahkamah Tinggi Kuching diberitahu syarikatny­a mempunyai tunggak bayaran GST yang sama seperti mangsa pertama.

Mangsa juga diberitahu beliau terlibat dalam kes dadah dan judi yang sama namun apabila mangsa memberitah­u beliau akan membuat laporan polis berkaitan perkara itu di Balai Polis Sentral Sibu, beliau diberi amaran akan ditangkap dan dipenjara selama enam bulan kerana membocorka­n kes itu.

“Pengadu yang percaya panggilan tersebut adalah daripada sindiket penipuan online terus membuat laporan polis dan berjaya mengelakka­n dirinya daripada ditipu,” kata Leong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia