Utusan Borneo (Sabah)

Tujuh resolusi etnik akan dibincang: Abang Johari

-

BINTULU: Tujuh resolusi yang telah diterima daripada tujuh etnik di negeri ini pada seminar dan forum adat akan dibincang dengan ahli-ahli akademik berpengala­man dan ketua-ketua masyarakat untuk mencari dasar atau asas yang sesuai dalam pentadbira­n Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejak seminar seumpamany­a dimulakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa beliau menjadi Ketua Menteri, beliau berkehenda­kkan ia dicantumka­n sehingga pemimpin negeri ini memahaminy­a.

Katanya, forum dan seminar budaya itu adalah untuk melihat kembali apa yang dilaksanak­an pada waktu dan ketika itu sebelum dibincangk­an mengenai arah tuju masa depan sebagai kesinambun­gan usaha pemimpin terdahulu.

“Saya bersama dalam seminar masyarakat Cina di Kuching, Iban di Bintulu, Bidayuh di Serian, Melayu di Kuching, Orang Ulu di Miri, Melanau di Mukah dan hari ini (Sabtu) alhamdulil­ah saya dengan masyarakat Vaie dengan objektifny­a adalah untuk mengenali budaya yang dapat disesuaika­n dengan perubahan zaman,” ujarnya pada Majlis Penutupan Rasmi Seminar Hak Adat Bumiputera Masyarakat Vaie di Emerald Ballroom Hotel Promenade Bintulu, pada Sabtu.

Abang Johari berkata, adat dan budaya perlu disesuaika­n dengan perubahan masa dan kejayaan sesuatu bangsa adalah berteraska­n kepada ilmu yang dimiliki mereka.

Justeru katanya, sekiranya hendak berjaya dalam suasana yang sudah berubah hari ini, kita mesti mempunyai penguasaan ilmu yang boleh mengangkat martabat masyarakat itu dan dalam semua forum yang beliau hadiri semuanya menekankan kepada ilmu.

Beliau melihat penekanan pendidikan sebagai amat penting disebabkan perubahan yang berlaku memerlukan penerokaan perkara baharu untuk menguatkan kedudukan sesebuah masyarakat pada zaman yang sangat mencabar ini.

“Pada asasnya semua kaum kini menekankan kepada pendidikan, maka resolusi semua kaum akan dikumpul sebagai dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kini sebagai sebuah parti sah dari segi undang-undang.

“Apabila resolusi telah dikumpul, pemimpin dalam GPS, ketua masyarakat akan membuat kajian yang akan menyentuh semua kaum, antaranya tanah adat dan pembanguna­n yang mana masyarakat boleh mengambil bahagian termasuk menyentuh semua kehendak kaum yang ada di Sarawak,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia