Utusan Borneo (Sabah)

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu ini

-

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan yang kecil pada minggu ini disebabkan kebimbanga­n yang berterusan ke atas lebihan bekalan dalam negara pengeluar serta cabaran ketidakten­tuan global.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low Jau Foo berkata krisis perdaganga­n Amerika Syarikat (AS)-China, ketidakten­tuan di Eropah selepas Brexit dan pergerakan harga minyak akan terus memberi kesan ke atas pasaran komoditi termasuk getah.

“Pasaran juga dijangka lengang minggu depan (minggu ini) disebabkan oleh permintaan yang lembap. Prospek pasaran niaga hadapan juga suram kerana cabaran ketidakten­tuan. Semua ini memberikan petunjuk bahawa wujud kemungkina­n aliran penyusutan harga,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga memberitah­u Malaysia mungkin akan mengalami kadar hujan yang tertinggi dan musim banjir pada bulan depan, ini dijangka akan mengganggu aktiviti menoreh.

“Harapan sekarang terletak pada hujan monsun dan aktiviti aktiviti menoreh yang lebih terhad. Ini akan meningkatk­an harga tetapi, buat masa sekarang, kebanyakan cuaca negara-negara pengeluar adalah baik,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga berkata para peneraju pasaran juga lebih suka mengambil sikap ‘tunggu-danlihat’ di hadapan mesyuarat perdaganga­n AS-China yang akan mengambil tempat, semasa sidang kemuncak G20 di Buenos Aires pada minggu ini.

Urus niaga pada minggu lepas menjadi pendek berikutan cuti Maulidur Rasul pada Selasa lepas.

Untuk minggu yang baharu berakhir, harga getah diniagakan rendah.

Asas Jumaat kepada Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 6.5 sen kepada 503.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun lapan sen kepada 370 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada jam 5 petang, bagi SMR 20 merosot sebanyak 5.5 sen kepada 505.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal jatuh enam sen kepada 371.5 sen sekilogram. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia