Utusan Borneo (Sabah)

Kritikan suntik semangat pemain: Cheng Hoe

-

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe menyifatka­n kritikan penyokong susulan kekalahan kepada Vietnam, menyumbang kepada kemenangan 3-0 ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Ahad.

Cheng Hoe berkata kritikan itu sedikit sebanyak membakar semangat barisan pemainnya yang turun dalam misi ‘hidup mati’ mencari kemenangan untuk membolehka­n mereka mara ke peringkat separuh akhir.

“Kritikan itu semua merupakan kritikan yang membina. Mereka (penyokong) sayangkan pasukan negara.

“...dan saya akui kekalahan kepada Vietnam tempoh hari memberi pasukan motivasi yang sangat baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam Ahad.

Kemenangan itu menyaksika­n Malaysia melangkah ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan dan diiringi Vietnam sebagai juara selepas turut meraih tiga mata selepas menewaskan Kemboja 3-0 pada satu lagi aksi malam ini.

Pada aksi malam ini, dua gol menerusi penyerang Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dan satu gol melalui Norshahrul Idlan Talaha sudah cukup memberi tiga mata berharga selain menamatkan kemarau kemenangan tujuh tahun ke atas skuad ‘The White Angels’ itu.

Sementara itu, mengulas mengenai aksi malam ini Cheng Hoe berkata masih terdapat beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan barisan pemain negara.

Beliau berkata tempoh seminggu sebelum aksi separuh akhir pertama yang dijadual berlangsun­g sama ada Sabtu atau Ahad depan, akan digunakan sebaiknya bagi memperkema­skan corak taktikal pasukan di samping mengkaji kekuatan pasukan lawan.

“Kami turun hanya dengan satu misi, meraih kemenangan dan pemain menunjukka­n kesungguha­n sejak awal permainan. Tetapi masih ada beberapa kekurangan yang boleh diperbaiki menjelang aksi separuh akhir nanti,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia