Utusan Borneo (Sabah)

Pelabur China terus yakin dengan Malaysia

Tawarkan pelaburan berteknolo­gi tinggi seperti elektronik, pembuatan komponen dan alat-alat ganti

-

KUANTAN: Pelabur China kekal yakin dengan Malaysia dan akan terus melabur di sini meskipun berlaku perubahan kerajaan, kata Presiden China Entreprene­ur Club (CEC) Ma Weihua.

“Pelabur China boleh melabur dalam projek berteknolo­gi tinggi seperti elektronik serta pembuatan komponen dan alat-alat ganti di Taman Perindustr­ian Malaysia-China Kuantan (MCKIP). Itu adalah pelaburan yang Malaysia mahu dapatkan, yang mana ia juga adalah ” kepakaran kami (China) . MA WEIHUA, Presiden China Entreprene­ur Club (CEC)

Beliau berkata pelabur China boleh melabur dalam projek berteknolo­gi tinggi seperti elektronik serta pembuatan komponen dan alat-alat ganti di Taman Perindustr­ian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

“Itu adalah pelaburan yang Malaysia mahu dapatkan, yang mana ia juga adalah kepakaran kami (China),” katanya kepada pemberita semasa kunjungan beliau ke MCKIP di sini, semalam.

Ma berkata berdasarka­n pemerhatia­n beliau, pelaburan di MCKIP setakat ini adalah lebih banyak dalam projek berkaitan bahan mentah seperti besi dan keluli, kimia dan baja.

Ditanya sama ada keyakinan dalam kalangan pelabur China akan tergugat susulan langkah kerajaan mengkaji semula beberapa projek berkaitan China seperti Kereta Api Berkelajua­n Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Laluan Rel Pantai Timur, Ma berkata beliau tidak merasakan begitu.

Sebaliknya, katanya, beliau kagum dengan pemahaman dan sokongan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Inisiatif Belt and Road China.

“Kami telah bertemu dengan perdana menteri dua kali dalam masa tiga bulan, pertama selepas kunjungan beliau ke China pada Ogos dan beliau berulang kali menekankan tentang persahabat­an, serta hubungan perdaganga­n yang baik antara China dan Malaysia,” katanya.

Memetik Dr Mahathir sebagai berkata kajian semula itu tidak akan menjejaska­n persahabat­an dan kerjasama antara kedua-dua negara, Ma berkata oleh itu beliau yakin pelabur China akan terus melabur di Malaysia.

Mengenai MCKIP, Ma berkata kurangnya promosi adalah isu utama yang menyebabka­n taman perindustr­ian itu kurang dikenali dalam kalangan pelabur China.

Bagaimanap­un, katanya, taman perindustr­ian itu telah memberikan tanggapan yang baik kepada beliau terutamany­a lokasi menariknya yang menghadap Laut China Selatan serta prasarana asas dan pelabuhan laut dalamnya.

“Saya sudah pastinya akan mempromosi­kan taman perindustr­ian itu kepada rakanrakan saya apabila pulang ke negara saya,” katanya.

Ma mengetuai delegasi CEC seramai 12 anggota bagi lawatan selama tiga hari ke Malaysia dari 26-30 Nov.

Delegasi itu melawat MCKIP, kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd dan Pelabuhan Kuantan hari ini.

CEC adalah platform perniagaan utama di China yang ditubuhkan pada 2006 oleh kumpulan elit usahawan China dengan objektif untuk menggalakk­an integriti perniagaan serta kemampanan ekonomi dan sosial.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia